Maxis Cyberkids Challenge adalah acara kemuncak Kem Cyberkids yang telah diadakan sepanjang tahun. Para pelajar dari 10 sekolah kebangsaan dan pendidikan khas di seluruh negara mempamerkan kreativiti menggunakan alat-alat ICT terkini. 8 finalis mempamerkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari sepanjang kem secara langsung di Maxis Cyberkids Challenge.
Meneruskan usahanya dalam memberi kuasa kepada pelajar melalui teknologi, Maxis memberi pengiktirafan kepada para peserta Maxis Cyberkids Challenge 2014 diatas kreativiti dan inovasi mereka dengan menggunakan alat-alat ICT. Acara tersebut, yang telah berlangsung di Kuala Lumpur dari 2 – 3 Disember, merupakan kemuncak kepada Kem Maxis Cyberkids yang telah diadakan sepanjang tahun di seluruh negara.
Sebanyak 10 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam kem tersebut, dimana mereka telah diberi peluang untuk mempamerkan kreativiti mereka dengan membangunkan dan mempromosikan projek-projek berkaitan dengan ICT untuk manfaat sekolah masing-masing. Di Maxis Cyberkids Challenge, 8 sekolah teratas dikehendaki mempamerkan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari sepanjang kem mereka secara langsung, dengan membangunkan aplikasi dalam masa yang diberikan. Sekolah-sekolah telah diadili berdasarkan aktiviti-aktiviti mereka di peringkat sekolah dan prestasi mereka di Maxis Cyberkids Challenge, dan sekolah yang mendapat markah keseluruhan tertinggi dinobatkan sebagai pemenang.
10 buah sekolah yang mengambil bahagian terdiri daripada lima sekolah pendidikan khas daripada kedua-dua peringkat sekolah rendah dan menengah, serta lima sekolah menengah kebangsaan. Sekolah-sekolah pendidikan khas tersebut adalah SKPK Kg Baharu di KL, SKPK Jalan Peel di KL, SKPK Alor Setar, Kedah, SMPK (V) Indahpura, Johor dan SMPK Persekutuan Pulau Pinang. Sekolah-sekolah menengah terdiri daripada SMK Bandar Sri Damansara 2, Selangor, SMK Dato’ Bentara Dalam, Johor, SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang, SMK Abu Bakar Al-Baqir, Perak dan SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj, Negeri Sembilan.
Pemenang-pemenang Maxis Cyberkids Challenge 2014 adalah SMK Abu Bakar Al-Baqir, Perak, yang dinamakan pemenang dalam Kategori Sekolah Menengah untuk aplikasi mereka bertajuk ‘Sejarah Malaysia’, yang menawarkan cara menyeronokkan untuk mempelajari sejarah Malaysia melalui kuiz interaktif dan pencarian fakta. Dalam Kategori Sekolah Pendidikan Khas (Sekolah Menengah), SMPK (V) Indahpura, Johor digelar pemenang bagi aplikasi ‘resipi donut’ mereka. SKPK Jalan Peel, KL adalah juara dalam Kategori Sekolah Pendidikan Khas (Sekolah Rendah) untuk projek mereka yang bertajuk ‘Kenapa Mesti Cuti Pada Hari Itu’, sebuah filem pendek mengenai Hari Merdeka. SMK Dato’ Bentara Dalam, Johor pula dinamakan pemenang bagi Kategori Video Terbaik (Terbuka), bagi video mereka yang memaparkan animasi ‘stop-go’ untuk permainan ‘ular’ (snake game). Aplikasi Mudah Alih Terbaik diberi kepada SMK Bandar Sri Damansara 2, Selangor, bagi sistem kehadiran pelajar dalam talian mereka, yang dicipta untuk kedua-dua guru dan pelajar sebagai satu cara untuk memantau kehadiran.
“Tahniah kepada para peserta akhir dan pemenang pada hari ini! Program Maxis Cyberkids kami adalah contoh terbaik bagaimana kami memberi kuasa kepada generasi muda untuk menggunakan teknologi, dan menjadi lebih inovatif dan kreatif. Kami berbangga untuk melihat para pelajar ini berjaya dan diberi peluang untuk menjadi pemboleh teknologi dengan berkongsi pengetahuan mereka dengan sekolah masing-masing dan juga masyarakat sekitar,†kata Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Maxis, yang telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Program Maxis Cyberkids diperkenalkan pada tahun 2002, dan telah mencapai 9,079 pelajar dan guru, dan juga 1,525 buah sekolah di seluruh negara. Pada tahun 2012, sempena ulang tahun ke-10 program tersebut, Maxis telah membawa kem ke sekolah-sekolah pendidikan khas buat kali pertama. Selain itu, Maxis memperluaskan program Cyberkids ke kakitangannya sendiri dengan menyesuaikan modul latihan berdasarkan kem Maxis Cyberkids.