Pontian, Johor, 9-10 Disember 2008 – Program realiti amal Bersamamu kini telahpun memasuki musim ke-13. Sejak disiarkan program ini memaparkan kisah segelintir masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan sama ada dari segi kewangan mahupun kesihatan bagi mendapatkan sedikit perhatian. Kemunculan program ini memberi sinar dan harapan baru kepada golongan ini agar masalah mereka dapat dibantu oleh pihak-pihak yang sewajarnya.
Kehadiran musim baru Bersamamu menyuntik rasa kebersamaan dalam masyarakat dengan mengetengahkan konsep `gotong-rotong’. Pelbagai pihak dipelawa untuk turut serta membantu keluarga yang dipaparkan seperti agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat atau pelajar universiti dan sekolah. Gandingan muafakat ditonjolkan menerusi aktiviti membersih, membaiki dan membina rumah serta memberi khidmat kaunseling, tuisyen, kemahiran dan pemeriksaan kesihatan.
Bersesuaian dengan konsep baru itu, satu lagi keluarga yang mendapat perhatian pihak penerbitan ’Bersamamu’ kali ini adalah keluarga En Zainal Rohani yang tinggal di Kg. Parit Bugis, Kayu Ara Pasong, Pontian Johor. Zainal merupakan seorang duda berusia 43 tahun dan mempunyai 9 orang anak berusia antara 2 hingga 20 tahun.
Anak sulongnya telah mendirikan rumahtangga manakala, 5 lagi anaknya masih bersekolah. Zainal melakukan kerja-kerja kampung seperti menjual ikan, memetik paku-pakis di sungai dan mengambil upah kerja kontrak untuk menyara keluarganya. Keluarga ini juga tidak mempunyai tempat tinggal dan kini hanya menumpang di rumah ibunya. Seorang daripada anaknya yang berada di tingkatan 5 hampir tidak dapat meneruskan persekolahan kerana tidak berkemampuan.
Â
Selain menghulurkan bantuan untuk keperluan asas dan peralatan dapur, pada hari pertama sesi rakaman program Bersamamu ini, 35 pelajar dari Rakan Exco Kolej Rahman Putra dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai beserta kakitangan dan pensyarah telah menjalankan aktiviti gotong-royong dan membersihkan persekitaran rumah En Zainal.
Pemeriksaan kesihatan oleh Pusat Kesihatan UTM juga turut dijalankan terhadap keluarga En. Zainal. Selain itu mereka juga turut memberi peransang dan kata-kata semangat kepada anak-anak En Zainal untuk belajar bersungguh-sungguh.
Naib Presiden Jabatan Pembangunan Perniagaan Pelanggan (Vice President Consumer Business Development) Bank Muamalat, En Abdul Khalid Hj Abdul Rashid turut sama menjengah ke kediaman En. Zainal pada hari berikutnya.
Selain bersuai-kenal dengan keluarga tersebut beliau juga turut menyampaikan sumbangan bagi pihak Bank Muamalat yang berbentuk keperluan asas seperti tilam, selimut, rak pakaian dan sebagainya. Anak-anak En. Zainal juga turut menerima 7 buah basikal dari Bank Muamalat untuk memudahkan mereka pergi ke sekolah. Penaja bersama Al-Ihsan juga turut menghulurkan bantuan berupa yang wang tunai.Â
Rakaman episod ini akan disiarkan dalam program ‘Bersamamu’ pada 3 Dis 2008, Rabu jam 9.30 malam di TV3.Â
Bank Muamalat dan Syarikat Faiza Sdn Bhd merupakan penaja bersama program Bersamamu bagi musim ke-13 yang menemui penonton TV3 setiap Rabu, jam 9.30malam mulai 17 September 2008. Sama seperti musim lepas Bersamamu akan memberikan tumpuan kepada keluarga yang memerlukan. Namun, bagi musim ke-13 ini, Bersamamu tampil dengan konsep “gotong-royong’ atau ‘kebersamaan†yang mana ia akan membabitkan penyertaan pelbagai pihak untuk turut sama membantu golongan yang memerlukan.
Pembabitan pelbagai pihak ini termasuklah dari segi penyerahan sumbangan dan juga gotong-royong membersih atau membaiki rumah yang rosak, serta memberi tuisyen dan kemahiran kepada anak-anak Bersamamu. Penyertaan ini adalah daripada kalangan pihak kerajaan, swasta, badan korporat atau pelajar universiti dan sekolah.
Kutipan Tabung Bersamamu TV3 juga masih diteruskan untuk mendapat sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan keluarga Bersamamu pada musim-musim yang akan datang. Selain daripada kutipan orang ramai yang diterima melalui Jom Heboh, orang ramai juga boleh menghantar sumbangan mereka kepada Maybank akaun Tabung TV3 Bersamamu BSM: 5643 2412 9973 yang dipantau oleh pemegang amanah TV3 iaitu Amanah Raya Berhad (ARB). Selain daripada itu, sumbangan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip Tabung2 / Tabung5 / Tabung10 dan hantarkan ke 33399.
Menerajui penerbitan Bersamamu musim baru ini adalah penerbit, Kamaruza’ain A. Kadir dan Kalijahwati Md Kassim sebagai penerbit bersama. Mereka turut dibantu oleh wartawan penyiaran Johari Abu Bakar.