in

Keluarga Tetap No 1 – Faizal Tahir

KELUARGA TETAP NO 1 – FAIZAL TAHIR
FAIZAL TAHIR MENITIKBERATKAN SOAL KESIHATAN ORANG TERSAYANG

Sungguhpun berbekalkan jadual yang padat serta masa bekerja yang tidak menentu, Faizal Tahir tetap tidak mengabaikan soal penjagaan gigi yang dikira amat penting dalam kerjayanya sebagai seorang artis.

Masakan tidak, sewaktu sesi penggambaran mahupun sesi bergambar bersama peminat, senyuman yang manis dan menarik pastinya menjadi aset penting dalam menyerlahkan kekuatan gambar tersebut.

02

Meskipun sibuk dengan kerja, selebriti sokongan bagi Kempen Bulan Kesihatan Mulut 2012 ini tetap tidak melupakan keluarga dan anak-anak yang berada di rumah. Bagi beliau, sebagai seorang ayah, tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dalam menerapkan penjagaan gigi yang betul datang secara semulajadi. “Sungguhpun saya selalu pulang lewat malam, namun bila berkesempatan saya pasti akan memeriksa gigi mereka sebelum mereka masuk tidur,” ujar Faizal.

Faizal menggunakan pendekatan yang lembut dalam soal mengajar anak-anak tentang penjagaan gigi.

“Semua kanak-kanak termasuklah anak-anak saya sukakan makanan yang manis. Namun saya tidak menghalang mereka menikmati makanan tersebut, cuma saya tegaskan bahawa pengambilan makanan-makanan tersebut secara kerap adalah tidak bagus untuk gigi,”. Faizal turut mendedahkan bahawa melalui kempen Bulan Kesihatan Mulut tahun ini yang bertemakan ‘Misi Kami; Kaviti Sifar’ ini, anak-anaknya mendapat pendedahan yang lebih menyeluruh tentang teknik-teknik penjagaan gigi yang betul.

Matlamat kesihatan mulut Organisasi Kesihatan Sedunia iaitu Start Early, Healthy Mouth for a Healthier Life (Mulakan Awal, Mulut Sihat, Hidup Lebih Sihat) turut diselarikan dengan tema kempen yang telah pun memasuki tahun kesembilan ini. “Melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter, saya cuba menyebarkan kepada orang ramai tentang peluang mereka untuk mendapatkan pemeriksaan gigi secara percuma melalui klinik-klinik di bawah naungan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia.”

“Saya sedar betapa pentingnya pemeriksaan gigi dalam memastikan mulut saya dalam keadaan yang baik. Sukar untuk saya mencuri masa untuk berjumpa dengan doktor gigi kerana jadual yang ketat dan kerana itulah saya berada di sini hari ini, bukan sekadar memberi peringatan kepada orang ramai, tetapi juga kepada diri sendiri,” kata beliau.

Faizal turut menyuarakan sokongan untuk usaha Colgate yang bekerjasama dengan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Bahagian Kesihatan Mulut Kementerian Kesihatan yang bertujuan menekankan pendidikan seawal mungkin bagi penjagaan kesihatan gigi yang tepat dan amalan teknik-teknik penjagaan gigi yang betul.

“Inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh Colgate dan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) menunjukkan bahawa mereka berusaha keras untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesihatan gigi. Terima kasih atas peluang yang diberikan untuk saya membabitkan diri dalam program ini kerana melaluinya saya boleh berkongsi pengalaman ini dengan anak-anak.”

01

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Maxis Lancar Perkhidmatan E-Buku Pertama Di Malaysia

Rahsia Tun Dr Mahathir Mohamad Kekal Muda