Namun program yang menampilkan Jaa Suzuran sebagai hos ini menonjolkan pendekatan lebih istimewa lagi kerana selain menemu bual artis pilihan, Jaa turut berkesempatan meluangkan masa mengorek rahsia selebriti tersebut daripada keluarga terdekat antaranya suami, ibu, ayah, atau adik mereka.
Ikuti temu bual Jaa bersama-sama Nurshazwani Shamsuddin yang lebih dikenali Cik Maggis, anggota Kumpulan De Fam. Beliau pernah mengikuti kelas meluncur ketika berusia 18 tahun. Jaa membuat kraf tangan bersama–sama dengan Cik Maggis. Selain itu, suami Cik Maggis iaitu Yazmin Firdaus turut berkongsi pengalamannya sebagai artis kepada seorang artis.
Selebriti seterusnya iaitu Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman (Aprena Manrose) yang berasal dari Kelantan. Berumur 25 tahun dan anak bongsu dalam keluarganya, beliau terlibat bukan sahaja seorang pelakon, tetapi juga penyanyi. Siapakah individu terdekat Aprena Manrose yang ditemu bual? Usah ketinggalan menyaksikan episod ini.
Berikutnya program ini menonjolkan selebriti Eyra Hazali yang pernah menerima anugerah pelakon kanak-kanak terbaik di Anugerah Sri Angkasa 2010. Beliau mula berlakon sejak kecil lagi. Eyra Hazali membintangi filem ‘Tiang Seri’, telefilem ‘Anak-Anak Lorong’ dan drama bersiri ‘Mr. Grey’. Beliau berkongsi kisah dirinya yang meminati seni silat. Menariknya, Jaa turut berpeluang memancing dengan Eyra Hazali dan bapanya, Hazali Haji Ramli.
Ikuti perjalanan kanvas seni artis Sharul Kamal yang bermula menceburi bidang nyanyian sejak umurnya 15 tahun. Antara album yang telah dikeluarkan adalah Mungkin ada yang tak tahu penyanyi lagu ‘Racun Rindu’, ‘Dengar’ dan ‘Hanya Kamu’ ini pernah menyertai Akademik Bola Sepak Yayasan Negeri Sembilan. Jaa juga telah menjemput ibu beliau, Maznah Baba berkongsi rahsia artis yang gemar bermain bola sepak juga suka aktiviti ‘hiking’ dan ‘skydiving’ ini.
Tidak kurang menariknya perkongsian momen dengan pelakon Amirul Faqeem, pemilik Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, UNISEL dan pernah bekerja sebagai Pengawai Perhubungan Awam. Amirul Faqeem pernah menjadi watak utama dalam drama ‘Mencari Mel dan Ayu’, ‘Suamiku Paling Sweet’ dan ‘Love You Mr. Arang’. Selain itu, beliau juga pemilik sebuah ‘hair salon’. Menurut ibu Amirul Faqeem, Noor Haslinda, hobi beliau ialah snorkeling dan boxing.
Kenali selebriti dikenali sebagai Issey berasal dari Kelantan. Issey pernah menjadi ketua kumpulan dikir barat di Dikir Akademi Arjunasukma dan diangkat sebagai Ikon Belia Kelantan 2016 oleh Majlis Belia Kelantan. Selain berlakon, Issey juga terlibat dalam bidang nyanyian dan penyampai radio. Istimewanya dalam program ini, Issey berkongsi kelebihannya mempunyai bakat sebagai seorang pencipta minyak wangi.
Episod tujuh menjemput Neera Azizi yang memulakan kerjaya dalam bidang lakonan pada tahun 2016. Antara drama lakonannya seperti ‘Miss Kapten Cikgu Waiz’, ‘Sedingin Cinta Antasya’ dan ‘Sayangku Kapten Mukhriz’. Neera Azizi menyertai aktiviti boling bersama-sama dengan Jaa. Episod ini ibu Neera Azizi iaitu Nurakmar Abdul Mubin juga turut ditemu bual oleh Jaa.
Kenalkah anda dengan Mohamad Taufiq bin Mohd Hanafi? Menggunakan nama Taufiq Hanafi, pelakon berasal dari Johor ini mempunyai kelulusan dalam Ijazah Pengajian Television dan Filem dari Aswara. Beliau suka terhadap ekstrem dan aktiviti lasak, seperti gimnasium. Antara filem lakonannya seperti ‘Paskal The Movie’, ‘Ops Cinta Din Sardin’ dan ‘Ola Bola’. Menurut adik beliau, Nurhidayah, abangnya seorang penyayang dan murah hati.
Ikuti kisah pelakon cilik Nur Qistina Raisah yang memulakan kerjaya dalam bidang lakonan sejak tahun 2012, ketika berusia empat tahun. Antara drama lakonan Qistina Raisah adalah ‘Lafazkan Kalimah Cintamu’, ‘Syurga yang Kedua’ dan ‘Papa Ricky’. Siapa sangka si cilik yang petah berbicara ini gemarkan aktiviti ‘Wall Climbing’. Cita-cita Qistina Raisah menjadi doktor haiwan disebabkan dia sukakan kucing.
Mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri nama Khai Bahar yang berasal dari negeri Perlis tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau pernah menyertai uji bakat dalam pertandingan realiti TV, namun nasib tidak menyebelahinya ketika itu. Antara album yang dikeluarkan oleh beliau adalah ‘Jodohku’, ‘Luluh’ dan ‘Bayang’. Menarik untuk dikongsikan dengan semua, beliau mahir dalam ukiran seni buah-buahan dan sayur-sayuran.
Semakin mekar mengatur langkah dalam bidang lakonan, nama Jaja Iliyes yang berasal dari Perak mula dikenali. Lulusan Diploma dalam subjek Teater dan Animasi dari Universiti Institut Teknologi Malaysia, beliau aktif dalam bidang lakonan selepas menyertai satu uji bakat program pada tahun 2016. Antara drama lakonannya, ‘Papa Nak Menantu’, ‘Meh Sandar Pada Aku’ dan ‘7 Hari Mencintaiku’. Jaja Iliyes juga suka menyertai sukan Boxing pada masa lapang. Jaja sempat meluangkan masa bersama-sama ibunya, Marita Abdullah dan melakukan ‘Manicure’.
Selebriti jemputan seterusnya pelakon Nadya Syahera berasal dari negeri Kedah. Memulakan kerjaya sebagai paragawati busana Muslimah, beliau pernah berlakon dalam drama ‘Rahsia Hati Perempuan’, ‘Red Velvet’ dan ‘Abang Bomba I Love You’. Menurut suaminya, Hafizul Mohd Nawi, isterinya seorang penakut, kuat melatah dan sering menjadi mangsa usikan kawan-kawan. Namun pada masa sama diakui Nadya Syahera seorang isteri dan ibu penyayang.
Akhir sekali kenali pelakon kacak kelahiran Negeri Sembilan iaitu Nazrief Nazri yang pernah menyertai pertandingan pencarian bakat Hero Remaja 2011/2012. Beliau memulakan kerjaya dengan drama ‘Lara Terindah’ dan ‘Nasi Minyak Kuah Cinta’. Filem pula menerusi ‘Air Mata di Bumi Matador’. Menurut kawan-kawannya, beliau seorang pemalu, bijak, peramah dan penyayang.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.