Membesar dengan tekanan perasaan yang serius, ditambah pula berdepan dengan beberapa isu mengecewakan dalam hidup membuatkan pelakon yang pernah diangkat Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu menjadi seorang yang suka memendam rasa.
Segala keluh kesah dalam jiwa Hafreez atau nama sebenarnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan tidak pernah dikongsi, biarpun dengan ibu dan ahli keluarganya. Akibatnya, masalah yang membelenggu akhirnya makan diri.
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Bila Hati Berbicara dan Hati Perempuan itu Hafreez pernah mendedahkan masalah tekanan jiwa dialami dalam blog peribadinya. Namun, enggan berhadapan kecaman menyebabkannya bertindak menyimpan semula penulisan itu.
Bagaimanapun, luahan perasaan yang pernah ditulis dikongsi semula di blog peribadinya, selain membuat pengakuan terbuka mengenai pergelutan hidupnya dalam entri Instagram (IG), baru-baru ini.
“Sejujurnya, saya mahu berkongsi kesedaran dengan mereka yang masih bergelut dengan tekanan jiwa seperti yang pernah saya lalui. Saya tahu ramai yang berdepan dengan tekanan hidup dan tidak berjaya mengawal diri terutama dalam situasi getir hari ini.
“Niat saya hanya mahu membantu dan memberi kata semangat kepada mereka yang melalui kesengsaraan dalam hidup. Tekanan perasaan bukan boleh hilang sekelip mata. Mungkin ada yang memandang remeh, tetapi hanya mereka yang berdepan dengan tekanan perasaan sahaja tahu bagaimana sakitnya berdepan konflik diri.
“Saya berkongsi semula kisah lama yang pernah membelenggu diri kerana ada yang datang mengucapkan terima kasih atas perkongsian yang menyelamatkan mereka daripada terus hanyut. Jadi, tak salah saya berkongsi pengalaman. Saya tak mahu jadi hipokrit dan menyembunyikan masalah seperti tiada apa yang berlaku,” katanya kepada BH Online.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak pernah mahu menakutkan sesiapa dengan perkongsian itu, sebaliknya kepada mahu berkongsi pengalaman dan masalah yang pernah membelenggu hidup.
“Sekurang-kurangnya, saya memberikan jalan buat mereka mahu menyelamatkan diri. Walaupun, saya tahu akan ada yang memandang serong, itu perkara biasa.
“Saya mahu mereka yang berdepan dengan tekanan perasaan ini tidak merasakan diri mereka keseorangan. Mereka boleh berkongsi dengan saya. Dalam masa yang sama, saya tidak mahu mereka cepat berputus asa. Kerana, penyakit ini boleh datang semula sekiranya mereka berputus asa dengan hidup,” katanya.
Hafreez berkata, dia melalui banyak perkara yang mengecewakan dalam hidup, akhirnya menjadi tekanan dan bebanan saat dirinya membesar.
“Pada masa itu, saya tidak boleh berfikir panjang, lantas melakukan benda bukan-bukan termasuklah menggelar tangan sendiri. Saya merasakan sudah tidak boleh berpura-pura kuat, apatah lagi berdepan dengan belenggu hidup seorang diri.
“Saya mencederakan diri kerana tidak mahu diri saya terus sakit, jadi saya alihkan kepada tangan. Saya rasa puas bertindak sedemikian. Sedangkan, saya tahu ia bukannya perkara elok. Mungkin juga disebabkan hati tidak tenteram ketika itu.
“Saya tak berani cakap depresi kerana saya tak pernah merujuk kepada pakar. Bagaimanapun, saya akui berdepan dengan pelbagai masalah yang membelenggu diri sejak kecil. Saya dibesarkan dalam keluarga berpecah, di mana ibu bapa berpisah. Saya pula hanya bersekolah hingga darjah enam,” katanya.
Katanya, dia menjadi seorang yang suka memberontak apabila meningkat remaja. Kemuncaknya, dia mencederakan diri pada 2013 kerana tidak tahan berdepan dengan pelbagai tekanan hidup.
“Saya sukar mengungkapkan masalah yang berlaku, tetapi ia sangat memberi tekanan dan mengganggu mental. Bagaimanapun, saya bangkit melawan perasaan apabila beberapa teman menghulurkan tangan membantu dan memberikan nasihat. Saya mula menjalani hidup dengan lebih baik.
“Namun, saya sekali berdepan dengan pelbagai masalah yang memberikan tekanan hingga bertindak mencederakan diri sekali lagi. Mujurlah, saya cepat sedar apa yang dilakukan salah.
“Berikutan perkongsian di IG mengenai kisah tragis ini, saya menerima banyak mesej peribadi (DM) orang ramai yang berdepan masalah yang sama. Dalam soal ini, pandangan positif sangat penting dan kena saling membantu memberikan semangat,” katanya.
Sumber: BH Online