Kelly atau nama sebenarnya, Raja Azman Raja Ayob berkata, dia terkejut apabila lagu pop yang dilancarkan pada Jun 2018 itu ‘mirip’ single terbaharu Erry, Oh No Sayang.
Melodi lagu nyanyian Erry saling tak tumpah dengan lagu No No No yang saya pernah rakamkan sebelum ini.
“Anda boleh nilai sendiri. Saya lancarkan lagu itu terlebih dulu dan lagu berkenaan juga saya yang cipta dan menyanyikannya.
“Tapi, Erry pula muncul dengan lagu sama dan tajuknya pula ditukar kepada Oh No Sayang,” katanya.
Menurut Kelly, dia ada menghubungi Erry bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai lagu terbaharu pelakon itu yang didakwa serupa dengan single No No No, tapi lelaki terbabit enggan menjawab panggilannya.
“Saya kecewa kerana saya kenal Erry. Dia rakan industri, sudah pasti kami saling mengenali dan tiada masalah sebelum ini. Saya cuba hubunginya, tapi dia senyap.
“Saya sangat kecewa dan sedih apabila dia dengan yakin mendakwa lagu itu adalah single terbaharunya, sedangkan ia tak patut berlaku.
“Saya sudah lama rakamkan lagu No No No dan menerbitkannya lima tahun lalu, sejak bila pula ia menjadi single baharu Erry?” katanya lagi.
Kelly berkata demikian ketika ditemui pada majlis previu bufet Ramadan Hotel Royal Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini.
Kelly berkata, dia bersyukur apabila terus diberi kepercayaan untuk menghiburkan tetamu di hotel itu sempena Ramadan nanti, bagi tahun yang ke-13.
“Saya sendiri tak sangka dah masuk 13 tahun saya menyanyi di Hotel Royal Kuala Lumpur sepanjang Ramadan untuk menghiburkan pelanggan yang berbuka puasa. Saya anggap ia rezeki.
“Tahun ini, saya sekali lagi bergandingan dengan Ani Maiyuni untuk menyanyi di sini,” katanya.