Seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, “Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab “Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali “Siapakah selepas ibu?” dan jawapan Rasulullah SAW tetap “Ibumu”. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab “Bapamu”.
Bukan mudah menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu. Tidak kiralah seseorang wanita itu adalah ibu kandung, ibu susu atau ibu angkat yang mencurahkan bakti kepada insan digelar anak.
Ibu kandung sanggup berkorban nyawa melahirkan anak melihat dunia. Ibu susu berkorban masa dan tenaga dalam memastikan seorang anak itu mendapatkan susu mencukupi dan mengenyangkan. Sementara ibu angkat pula berkorban keringat dalam membesarkan anak dan mencukupkan keperluan anak angkatnya.
Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.
Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang mana yang kita mampu.
Untuk itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telemovie bertajuk “Keliru Ibu” pada 17 Ogos ini, pukul 9.00 malam di TV1 yang berkongsi kisah kecelaruan hati seorang lelaki dalam menentukan antara ibu kandung, ibu susu atau ibu angkatnya yang mana patut diutamakan dahulu.
Menampilkan pelakon Haris Ismail, Sherry Merlis, Zila Bakarin, Fazlina Ahmad Daud dan Aprena Manrose, plot drama ini menonjolkan satu kisah dalam masyarakat Melayu. Penceritaannya dimulai oleh watak protagonis yang bernama Raykal. Raykal mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan gemar mendengar bapa mereka bercerita. Raykal menceritakan kepada mereka tentang beberapa orang ibunya semasa dia kecil dahulu.
Penceritaan ini menggunakan teknik imbas kembali. Raykal dipaparkan pada waktu itu berumur dalam lingkungan sepuluh tahun. Dia dijaga dan dibesarkan oleh dua orang wanita. Seorang dipanggilnya ‘mama’ dan seorang dipanggilnya ‘bonda’. Bonda ialah ibu angkatnya mempunyai sikap yang kuat dan garang. Manakala, mama ialah ibu susunya bersikap pasif, negatif dan gemar merajuk.
Raykal membesar dalam keadaan seorang ibu yang pasif dan seorang ibu yang agresif. Hal ini kadang-kadang menyebabkan Raykal menjadi keliru, sehingga sukar membuat keputusan yang tepat. Walau bagaimanapun, Raykal dapat menggembirakan kedua-dua ibunya kerana telah berjaya dengan cemerlang di universiti.
Pada suatu hari, seorang wanita telah datang mencari Raykal. Selepas itu barulah Raykal mengetahui bahawa wanita itu yang sebenarnya adalah ibu kandungnya yang telah dipenjarakan selama 20 tahun akibat menjadi keldai dadah.
Beberapa hari lagi Raykal akan meraikan konvokesyen di universiti dan dia akan menerima Anugerah Diraja. Dia akan diraikan dan hanya dibenarkan membawa dua orang tetamu. Raykal menjadi keliru dan serba salah kerana dia harus membawa tiga orang tetamu istimewanya, iaitu ibu angkat, ibu susu dan ibu kandungnya.
Akhirnya Raykal mengambil keputusan yang tidak dijangka sama sekali. Tindakannya itu dianggap sebagai yang terbaik dalam memastikan tiada hati yang terluka dengan keputusannya itu. Namun, Raykal memberikan penghargaan yang tinggi kepada semua ibunya dan semua ibu yang lain apabila dia berucap dalam majlis konvokesyen itu.
Siapakah antara ketiga-tiga wanita yang menjadi pilihan Raykal? Adakah dia memilih ibu angkat dan ibu susu yang selama ini berjuang berkorban menyusukan dan mendidiknya selama ini? Bagaimana pula dengan ibu kandungnya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.