Mengimbau masa lampau Hafidz Roshdi sebagai seorang kaki perempuan dan gemar berfoya-foya, apakah yang menyebabkannya berubah sehingga menjadi insan yang kita kenal hari ini?
Sebelum Hafidz mendirikan rumah tangga, Hafidz bertemu isterinya di luar negara yang ketika itu sedang beribadat di sebuah taman rekreasi.
CINTA MAMPU MENGUBAH SEGALANYA
Indah sungguh kisah permulaan percintaan Hafidz Roshdi bukan? Namun, ia cuma kisah percintaan fiksyen dalam drama Kelip-kelip Di Kota London.
Sebuah drama terbitan Zeel Production di bawah arahan Murali Abdullah, drama 13 episod ini menggabungkan pelakon-pelakon senior dan baharu seperti Hafidz Roshdi, Hanna Aqeela, Rizz Ismail, Putri Hanan, Haliza Misbun, Nadiyah Shahab, Zain Saidin, Ezany Nizariff, dan Tony Eusoff. Drama bertemakan jodoh penentuan Tuhan ini akan menemui penonton setiap Rabu hingga Jumaat bermula 14 Mac 2018 pada pukul 9 malam.
KELIP-KELIP DI KOTA LONDON ini mengisahkan seorang jejaka kacak dan berharta, Syed Syaufiq yang merupakan seorang jejaka penggemar hiburan dunia. Kekayaan Syaufiq diwarisi daripada syarikat perniagaan tekstil Al-Haffiy milik ayahnya, Syed Mukhriz. Demi menyiapkan anaknya dengan ilmu keusahawanan, Syed Mukhriz menghantar Syaufiq ke University of Cambridge, London. Di sana, hati Syaufiq terpahat apabila melihat Nur Insyirah yang sedang solat di satu penjuru taman rekreasi.
Terpukau melihat kecantikan Insyirah, Syaufiq mula mendekatinya dan mengenalinya. Seperti jodoh yang telah ditetapkan oleh Tuhan, Syaufiq juga mula mendekati agama Islam melalui dorongan dan ajaran Insyirah sehingga mereka mendirikan rumah tangga. Namun, sebaik sahaja berita pernikahan mereka tiba di Malaysia, Syed Mukhriz mula menerangkan wasiatnya yang tertulis harta warisan Al-Haffiy hanya akan jatuh kepada Syaufiq sekiranya Syaufiq menikahi Sharifah Jasmine dan mendapatkan seorang anak lelaki.
Dapatkah Syaufiq bertahan tanpa kemewahannya? Atau adakah Syaufiq akan menikahi Sharifah Jasmine dan membolot harta pusaka keluarganya?
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, layari laman sosial Facebook, Instagram, dan Twitter @TV3Malaysia. Gunakan juga tandapagar #dramasangat untuk hangatkan lagi perbualan di alam maya.