‘KEJUTAN MINGGU KELAPAN’
5 Perjalanan Finalis Da’i Diteruskan!
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar).
Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah SWT. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi, namun sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Minggu ini, sekali lagi 5 orang finalis Da’i diberi tanggungjawab untuk melaksanakan cabaran berbentuk soal jawab mengenai ilmu-ilmu Islam seperti Ilmu Fiqah, Akidah dan Sirah Nabawiah.
Finalis Che Faizal Amir Bin Che Mat, Mohamad Azamudin Bin Zainal, Mohamed Hazwan Bin Padzil, Muhammad Haizat Bin Kamaruddin dan Muhammad Tajdid Hadhari Bin Romli perlu menjawab satu soalan berdasarkan situasi tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan dengan cara berhujah. Jawapan mereka perlu bersumberkan pada hadis atau dalil Al-Quran. Kemudian, jawapan tersebut dinilaikan berdasarkan kepetahan menyampaikan hujah dan isi kandungan hadis serta dalil yang berkaitan dengan soalan yang diberikan. Finalis Da’i yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.
Menariknya episod minggu ini, satu kejutan diadakan bagi merancakkan lagi persaingan di kalangan finalis Da’i. Finalis yang tersingkir pada minggu ini masih diberikan peluang merebut semula tempat untuk bersaing dalam pusingan seterusya bersama 2 bekas finalis yang sudah tersingkir sebelum ini.
Ketiga-tiga bekas finalis Da’i ini akan bersaing dengan memberi hujah dan tazkirah mengenai tajuk yang diberikan oleh hos. Hanya dua orang sahaja yang akan layak kembali di program Da’i musim pertama dan bersaing dengan empat lagi finalis Da’i.
Menurut Penerbit Da’i, Shukri Hj Ibrahim:
“Memasuki minggu kesembilan, para finalis Da’i berdepan dengan satu lagi cabaran yang mampu memberi saingan sengit buat mereka berlima. Setiap minggu kesemua finalis Da’i mempamerkan prestasi persembahan yang semakin baik dan itu menyukarkan bagi pihak juri untuk mencari kelemahan finalis. Program realiti agama Da’i bukan hanya pertandingan semata-mata, ia turut diselitkan dengan pelbagai elemen seperti berdakwah secara halus dan berkongsi ilmu pengetahuan bersama penonton di luar sana. Setelah mengambil kira faktor kehebatan finalis-finalis Da’i, pihak juri memberi kata sepakat untuk membuka peluang kepada finalis yang tersingkir pada minggu ini serta dua lagi finalis iaitu Noraida Binti Jamlie dan Nor Adibah Binti Rozain yang sudah tersingkir dalam episod sebelum ini untuk kembali merebut dua tempat kosong bagi menjadi finalis Da’i semula. Sementara itu, dua bekas finalis yang dikembalikan merupakan finalis yang mendapat markah tertinggi antara semua finalis Da’i yang pernah tersingkir. Saya yakin dengan kemasukan dua finalis Da’i ini akan membuatkan persaingan semakin sengit.”
Program 13 episod ini menampilkan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin sebagai pengacara program untuk musim ini. Sementara itu, beliau turut ditemani dua rakan seperjuangan iaitu Mohd Zhafran Mohd Zainuldin dan Muhamad Hilmi Idris yang bertindak mengendalikan segmen khas mingguan. Manakala panel juri tetap pula menampilkan salah satu ikon pengacaraan yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Zainal Ariffin Ismail bersama Al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie yang bertanggungjawab menilai keterampilan semasa peserta dan pemarkahan berdasarkan tugasan yang diberikan. Aspek penilaian jawapan yang diberikan oleh setiap finalis pada minggu ini turut dibantu oleh dua juri jemputan iaitu Ustaz Haji Mohd Zamri Bin Haji Mohd Zainuldin.
Juara Da’i bakal membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM50, 000. Siapakah yang akan dinobatkan sebagai juara sulung program Da’i? Ikuti program realiti Da’i yang disiarkan secara langsung dari Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam pada setiap hari Sabtu jam 6.00 petang hingga 7.00 petang. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan Da’i boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Sila layari www.tv3.com.my/dai dan akaun Twitter rasmi Da’i iaitu @DaiTV3 serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.