Satu kejutan lagi telah dibuat dalam Akademi Fantasia musim ke-6. Kalau dulu kita hanya dapat mendengar kritikan dari seorang sahaja pengkritik tetap tetapi pada konsert minggu pertama AF musim baru yang bermula pada 22 Mac ini, dua orang pengkritik tetap akan duduk sebaris dengan pengkritik jemputan. Dah sah kedua-dua mereka akan menghangatkan lagi kerusi depan kerana mereka bukan calang-calang orang.
Pada majlis khas hari Isnin lepas, Astro telah mengumumkan dua orang pengkritik tetap yang akan menilai perkembangan persembahan mingguan para pelajar sepanjang tempoh pengajian. Mereka berdua Budiey anggap diva ternama negara iaitu Ogy Ahmad Daud dan Ning Baizura.
Agak terkejut juga apabila nama penyanyi bersuara soprano Ning Baizura disebut memegang tugas pengkritik. Selama ini, Budiey mengenali penyanyi yang katanya akan melancarkan album Inggerisnya pada 18 Mac ini sebagai penyanyi yang selalunya memberi kritikan dan komen ke arah yang positif. Manakala Ogy Ahmad Daud pula selalunya memotivasikan pelajar untuk menggali makna lagu dan menyelongkar segala rahsia serta pandai mengisi ruang pentas dengan karakter lagu. Apa pula yang akan diberikan oleh Ogy kepada pelajar untuk musim ini? Istilah baru barangkali?
Apa-apa pun, Budiey ucapkan tahniah dan good luck untuk kedua-dua diva ini. Budiey rasa, ianya satu gandingan mantap dan pastinya kehadiran kedua-duanya menyerikan lagi konsert mingguan.