Ratu rock terkenal tanah air, Ella reda dan pasrah dengan ketentuan Allah yang menjemput pulang ibunya, Yang Asmah Long ke rahmahtullah. Itu yang digambarkan suami penyanyi berkenaan, Azhar Ghazali kepada Astro AWANI ketika ditanya mengenai keadaan Ella sebaik mendapat khabar pemergian ibunya pada usia 92 tahun.
“Sebaik menerima panggilan, saya dan Ella terus bergegas pulang ke Klang dari Melaka. Kami tiba di rumah sekitar pukul 6 pagi. Alhamdulillah, kami dapat bersama-sama dengan ahli keluarga lain menguruskan jenazah,” kata Azhar
Ella dan Azhar berada di Melaka kerana menghadiri kursus yang sepatutnya berakhir hari ini.
Allahyarham Yang Asmah ibu kepada Ella menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2.30 pagi Khamis kerana sakit tua di kediamannya di Telok Gadong, Klang.
“Ketika ini jenazah sedang diuruskan untuk pengebumian,” kata Azhar lagi.
Jenazah Allahyarham Yang Asmah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, sekitar pukul 11 pagi ini.
“Berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang solehah,”
Sementara itu, BH Online melaporkan abang ipar Ella, Syahrizal Ismail, berkata Yang Asmah menghembuskan nafas terakhir dalam tidur.
“Arwah menetap dengan adik ipar, Korie di Klang. Kami berjumpa hari-hari kerana arwah semakin uzur.
“Arwah meninggal dalam tidur akibat sakit tua,” katanya yang juga suami kepada kakak dan juga pengurus Ella, Jojie.
Sementara itu, berita pemergian Yang Asmah ke rahmahtullah turut dikongsi di laman Facebook Ella Aminuddin.
“Salam dan sejahtera . Buat makluman, dan mohon didoakan bonda kepada Ella, Hajah Yang Asmah Binti Long yang telah pulang menemui penciptaNya sekitar jam 2.30 pagi tadi.
“Allahummaghfirlaha warhamha wa’afihi wa’fuanha.
“Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga beliau di tempatkan di kalangan orang-orang yang solehah. Al-Fatihah,” tulisnya.
Berita sedih itu turut mendapat perhatian lebih 1,000 kenalan dan peminat-peminat Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 54, yang mengucapkan salam takziah buat penyanyi itu dan seluruh keluarga.
Mereka turut mendoakan semoga roh Allahyarham Yang Asmah dicucuri rahmat serta memberikan kata-kata semangat kepada Ella dan seluruh keluarga agar tabah dengan pemergian ibu tercinta.
Menerusi ruangan komen, rata-rata rakan artis dan peminat turut menghulurkan ucapan takziah.
“@alifsatar: Innalillahiwainnailayhirojiuun… Salam takziah buat akak sekeluarga. Semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.
“@nouruldepp: Innalillah… Al-fatihah. Salam takziah.
“@elizadsharifuddin: Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah kak Ella dan keluarga . Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah.
“@zahidarafik: Al-fatihah.. Salam takziah buat Ella dan keluarga, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang beriman,” antara yang ditulis.