Dalam Lupin Part 2, Assane bukan hanya meneruskan kemaraan dendamnya terhadap taikun bisnes licik, Hubert Pellegrini tetapi dia juga membawa daya fesyen yang lain daripada lain. Dia mempesona menerusi bakat ‘impersonasinya’.
Melihatnya, timbul rasa seronok melihat sosok seorang ‘gentleman burglar’ dengan naluri fesyen, termasuk koleksi sepatu jenama Nike Jordan 1 yang bersifat pelbagai.
Peluang menemu bual pemain watak protagonis itu menerusi junket (acara) media secara maya bersempena dengan peluncuran bahagian kedua siri original terbabit baru-baru ini, memberi satu pengalaman menarik tentang Omar Sy.
OMAR SY menyifatkan perjalanan karier menjadi lebih hebat dan menyeronokkan selepas berlakon siri Lupin.
Perubahan Hidup, Tak Cedera
Omar yang berketurunan Fulani memberitahu, Lupin telah banyak mengubah graf kerjaya lakonannya di pentas antarabangsa.
Masakan tidak, Lupin mencipta rekod luar biasa apabila bahagian pertamanya ditonton lebih 70 juta isi rumah, sekali gus menjadikannya siri ‘bukan-Inggeris’ paling banyak ditonton di Netflix.
“Perjalanan karier saya lebih hebat dan menyeronokkan. Orang mula lebih kenal siapa saya.
“Saya dapat berborak dengan produser dan penulis berbeza dan perihal menarik seperti itu. Peluang lebih besar tentang apa yang saya boleh buat berikutnya. Saya sangat gembira,â€
Menurut Omar, dia langsung tidak mengalami kecederaan saat menjayakan bahagian kedua naskhah popular tersebut.
Menurutnya, mempunyai fizikal yang kuat menjadi kelebihan buat dirinya.Biarpun banyak melakonkan adegan aksi, naskhah arahan George Kay itu langsung tidak meninggalkan parut pada tubuhnya.
“Masih ingat saya pernah berlakon sebagai Bishop dalam X-Men: Days of Future Past? Saya sekuat itu (ketawa),†kata anak keempat daripada lapan adik-beradik kelahiran Trappes, Perancis itu.
Rasisme di Perancis
Industri mahupun kehidupan boleh menjadi satu posisi atau penempatan yang kurang berpijak pada paksi keadilan buat sesetengah bangsa atau pecahan etnik. Apatah lagi sekiranya anda berketurunan selain ‘orang putih’ di negara berkulit putih.
Perkara itu diakui bapa kepada lima orang cahaya mata itu. Katanya, di negara kelahirannya, Perancis, perihal tersebut masih wujud di mana sahaja. Apa yang diperlukan adalah ketelusan dan kerja keras dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Mungkin orang tidak tahu. Ada kategori orang atau golongan di Perancis yang mempunyai pekerjaan spesifik tapi selalu tidak diendahkan atau diberi perhatian.
“Orang hanya akan berlalu pergi tanpa melihat muka anda. Apa yang kita tengok dalam Lupin atau pun siri lain bukan hanya satu intervensi tetapi apa yang betul-betul berlaku dalam kehidupan sebenar,†tuturnya.
Dinafikan Hak Sebab ‘Hitam’
Menurut Omar, penceritaan Lupin sangat dekat dengan kehidupan peribadinya. Membesar dalam keluarga imigran kulit hitam di Perancis, banyak perihal yang tidak memihak kepadanya.
“Mungkin orang tidak. Di Perancis, wujud dua bahagian. Yang miskin dan yang kaya. Sebagai lelaki kulit hitam, acap kali saya dipinggirkan sebab warna kulit.
“Saya sering dinafikan hak sebagai manusia oleh orang putih yang kaya. Kita tahu semua itu wujud, tapi kita tak nak terlalu beri perhatian,†luahnya.
MENCARI keadilan atas kematian bapanya, Babakar Diop yang menamatkan riwayat hidup disebabkan kejahatan Hubert Pellegrini, Assane lakonan Omar terus ‘mengejar’ taikun bisnes itu dalam Lupin Part 2.
Tambah Omar, suatu ketika dia pernah meminta bantuan daripada orang awam, namun tidak diendahkan hanya kerana dia seorang lelaki berkulit hitam yang menetap di Perancis.
Sekarang, Omar bersama isteri, Helene serta lima orang anaknya tidak lagi menetap di Perancis. Mereka sekeluarga sudah berpindah ke Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Kami sekeluarga sangat gembira di Los Angeles. Saya menjadi saksi anak-anak saya berputik seperti bunga di sini. Itu apa yang diinginkan semua bapa di dunia,†katanya.
Omar berkata, dia berusaha keras untuk melazimkan budaya Perancis dalam jiwa setiap anak-anak, sebagaimana bapanya sendiri menyuntik budaya Senegal dalam jiwa dan keperibadiannya.
Lupin Part 2 yang merupakan idea asal George Kay kembali ‘berjabat tangan’ dengan para peminatnya menerusi Netflix sejak 11 Jun (Jumaat) lepas.
*Artikel Dipetik dari: Kosmo!