Menerusi program diterbitkan Unit Hiburan TV RTM ini, penonton dihadiahkan kemunculan antara penyanyi popular zaman 1960-an menyanyikan lagu-lagu yang terus menjadi evergreen sehingga kini. Ia kekal segar dan diminati ramai tidak kira peringkat usia.
Dengan menjelmakan semula set termasuklah dari segi pemilihan pakaian, kaca mata hitam, Vespa dan muzik pop yeh yeh, RTM cuba mengembalikan semula kenangan dan nostalgia lagu yang pernah mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Mengimbau kembali zaman kegemilangan genre itu kepada generasi masa kini, pemilihan artis membuat persembahan J. Sham, Datuk Jeffry Din, dan S. Mariam, pastinya mengubat rindu peminat. Dua artis undangan tak kurang hebatnya bakal turut mengambil tempat menghiburkan penonton iaitu A.Rozainie dan Aiman Tino.
Dijayakan rakaman 18 Julai lalu, bertempat di Studio 1, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, persembahan satu jam setengah ini menjanjikan lagu-lagu terbaik yang pernah mempopularkan mereka sejak dahulu hingga kini.
Lagu-lagu tersebut termasuklah ‘Sinar Bahagia’, ‘Resam Dunia’ dan ‘Suratku Untukmu’ yang mengangkat nama J. Sham dalam industri muzik. Datuk Jeffry Din pula bakal menghiburkan dengan seleksi lagu ‘Seruling Anak Gembala’, ‘Siti Haida’, dan ‘Kenanganku’.
Pasti mengubat rindu kemunculan penyanyi S. Mariam dengan lagu yang sememangnya diingati ramai bertajuk ‘Hasrat Hati’, ‘Hilang Kasih’, dan ‘Bertemasya’.
Kemunculan Aiman Tino bakal menggamit nostalgia mengisi segmen Memori Untukmu dengan lagu ‘Suzana’, dan penyanyi A.Rozainie menyampaikan lagu ‘Hidup Bersama’. Saksikan kemuncaknya persembahan lagu ‘La Obe’ yang menghimpunkan kesemua artis yang terlibat menjayakan konsert ini.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.