KEBIADABAN PENUNJUK PERASAAN DI JAKARTA TERHADAP KEDUTAAN MALAYSIA DI INDONESIA
1. JAKIM ingin memberi komen dengan merujuk isu penunjuk perasaan di Jakarta yang telah mencemari Kedutaan Malaysia di Jakarta dengan membaling najis pada bangunan kedutaan dan memijak bendera Malaysia oleh puak pelampau di Jakarta.
2. JAKIM ingin menyatakan sikap yang ditunjukkan oleh penunjuk perasaan di Jakarta tersebut adalah memalukan dan melampau apatah lagi ia dilakukan ketika dalam bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan.
3. Sehubungan itu, JAKIM menyeru agar semua rakyat Malaysia bertenang dan tidak melayan dengan emosi rentetan dari provokasi yang melampau dan tidak bertamadun yang dilakukan oleh puak penunjuk perasaan tersebut.
4. Sebagaimana semua maklum isu yang cuba ditimbulkan oleh puak penunjuk perasaan tersebut telahpun diselesaikan secara diplomasi antara 2 buah negara. Oleh yang demikian, isu tersebut sengaja ditimbulkan untuk menarik perhatian rakyat Malaysia untuk bertindak di luar kawalan dan kewarasan.
5. Bersempena dengan bulan mulia Ramadhan yang mulia ini serta sambutan kemerdekaan kali ke-53 yang akan disambut tidak lama lagi. Marilah sama-sama kita menghayati semangat kecintaan yang mendalam untuk menjaga keharmonian negara serta mengambil semangat hadith yang dipetik dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”
(al-Bukhari dan Muslim)
6. Bagi memastikan tindakan puak pelampau seperti Laskar Merah Putih (LMP) itu tidak berpanjangan dan lebih mengeruhkan keadaaan, pihak berkuasa Republik Indonesia juga perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan penunjuk perasaan yang terbabit kerana sikap mereka ini boleh mewujudkan ketidakharmonian antara negara.
7. Oleh yang demikian dipohon agar pihak media dapat mengeluarkan kenyataan ini untuk makluman kepada masyarakat umum.