Hutang semakin tinggi manakala wang simpanan kian menyusut itu membuatkan Nico mengalami tekanan untuk meneruskan kehidupan ketika pandemik Covid-19.
Cerita Nico atau nama sebenarnya Abdul Fashah Abdul Aziz, 47, premis makanannya di medan selera di Menara PJD, Sentul tidak dapat beroperasi susulan pihak pengurusan hanya membenarkan kehadiran 20 peratus pekerja dalam satu bangunan.
Menurut Nico dia mula mengusahakan kedai makan dengan menyediakan pelbagai hidangan makanan Cina Muslim sejak setahun yang lalu bersama isteri, Juwiati Musa, 38. Tambah Nico lagi, akibat masalah kewangan juga dia terpaksa menghentikan dua pekerja kerana sudah tidak mampu untuk membayar gaji.
“Memang tertekan, hutang pun semakin lama semakin bertambah. Saya terpaksa tangguh bayaran sewa kedai sebanyak RM500 sebulan, hutang rumah, kereta dan lain-lain. Bukan tak nak bayar hutang tapi wang simpanan makin terhad, jadi saya perlu guna untuk tujuan yang lebih penting,”
“Sekarang ni saya duduk rumah je, sejak dua bulan lalu kedai terpaksa tutup sebab pelanggan tak ramai. Saya diberitahu hanya 20 peratus daripada anggaran 800 pekerja yang bertugas di menara itu, masuk ke pejabat. Itu pun jadual kerja mereka dibahagikan kepada dua, maknanya hanya 10 peratus datang ke pejabat pada satu-satu masa,”
– Nico
Ujar penyanyi ‘Inilah Nasibku’ bersama dua lagi anggota Nico G iaitu Affa dan Dino ini, karier lakonan yang baru diceburinya sejak dua tahun lalu juga terbantut kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Acara hiburan dah lama tak ada, jadi nak menyanyi pun tak boleh seperti dulu. Kemudian saya aktif dalam bidang lakonan, masa PKP 1.0 dulu masih ada lagi tawaran… tapi sekarang nak berlakon pun dah tak boleh.
“Harapnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini dapat berakhir segera, jadi saya boleh kembali berniaga dan berlakon. Lepas ni kalau ada pihak produksi yang nak ambil saya berlakon, boleh la ambil,”
– Nico
Setakat ini, antara drama lakonan Nico ialah ‘Kl Gangster Underworld 2’, ‘Kasih Bertaut’ dan ‘Pusaka Chalet Ana’. Untuk makluman, kali terakhir Nico G menghasilkan album pada 2019 selepas sekian lama menyepi.
Nama asal kumpulan Nico atau Network International Chicanos Organization ditukar kepada Nico G sebagai projek penjenamaan semula kumpulan itu.