in , ,

Ieda Moin & Amyza Aznan Kembali Berceloteh Dalam KECOH DAPUR 3

Ieda Moin dan Amyza Aznan Kembali Berceloteh Dalam “Kecoh Dapur 3” Sepanjang Ramadan Ini di TV2

Buat tahun ketiga berturut-turut penonton saluran TV2, RTM dihiburkan dengan celoteh dua pelakon Ieda Moin dan Amyza Aznan yang digandingkan dalam program “Kecoh Dapur” yang masuk tahun ketiga siarannya.

Berkonsepkan pengembaraan demonstrasi memasak hidangan terpilih sebagai juadah berbuka puasa, program ini bersiaran setiap hari, pukul 4.00 petang menerusi TV2.

KECOH DAPUR 3

Dua pengacara ini akan ke sesebuah lokasi terpilih dan berkunjung ke rumah seseorang dengan disertai penduduk kampung yang lainnya untuk mempelajari dan menunjukkan cara-cara menyediakan masakan yang sesuai untuk berbuka puasa. Setelah selesai memasak, mereka akan ke rumah beberapa orang penduduk untuk memberikan hidangan tersebut sebagai hidangan berbuka puasa.

Antara lokasi yang menjadi pilihan Kg. Sungai Masin, Batang Kali, Selangor menunjukkan cara-cara menyediakan tiga jenis masakan iaitu Bebola Ubi Salju, Terung Muhibah Rasa dan Gulai Kerisik Desa. Setelah selesai memasak, juadah tersebut diagih-agihkan kepada penduduk-penduduk yang terpilih sebagai hidangan berbuka puasa bersama keluarga.

Episod di Kg. Fajar, Selangor, Amyza dan Ieda bersama Pak Ayob berkaitan dengan Madu Kelulut yang dihasilkan di kampung tersebut. Kemudian mereka berkunjung ke rumah Puan Ina untuk melihat resipi juadah berbuka puasa yang akan disediakan buat tatapan penonton. Menu yang dipaparkan beliau ialah Bingka Kukus Pandan manakala Puan Maryani menunjukkan demo masakan Serunding Udang Geragau. En. Mohsin pula memasak Kari Ayam Kerisik.

KECOH DAPUR 3

Penonton turut dibawa ke Kg. Jerangkang, Nilai, Negeri Sembilan mempelajari menu Tempoyak Daun Kayu, Rendang Puding Belacan dan sejenis pencuci mulut, Pulut Kelapa Becak. Puan Aini juga berkongsi khasiat pelbagai jenis tumbuhan yang ditanam di sekitar rumah yang juga digunakan dalam resipi tersebut.

Kecoh Dapur Siri 3 seterusnya mengunjungi Kg. Gumut Tambahan, Kalumpang, Selangor. Penduduk-penduduk yang terlibat bergotong royong menyediakan tiga jenis masakan iaitu Bubur Nangka Mesra, Kerabu Nam Nam dan Udang Lemak Madu. Suasana menjadi riuh rendah dan kecoh dengan gurau senda pengacara bersama penduduk kampung ketika demonstrasi masakan dijalankan. Lokasi yang menjadi pilihan kemudiannya Kg. Sg. Dusun, Selangor melihat resipi juadah berbuka puasa yang akan disediakan buat tatapan penonton.

Berikutnya ke Kg. Mantin Dalam, Negeri Sembilan menyediakan tempat untuk demonstrasi masakan iaitu Daging Salai Menyengau, Mee Kari Carik dan sejenis pencuci mulut iaitu Bubur Cenderawasih. Dalam menu Daging Salai Menyengau, belimbing buluh digunakan dan dipetik dari pokok belimbing buluh yang banyak wujud di kampung tersebut. Setelah selesai memasak, Ieda dan Amyza menghantar juadah untuk berbuka puasa kepada beberapa orang penduduk terpilih.

KECOH DAPUR 3

Ada juga episod ke Kg. Sungai Kamin, Ulu Yam, Selangor dimana penduduk yang terlibat bergotong royong menyediakan tiga jenis masakan iaitu Lampam Kecur, Lumur Pucuk Singkong dan sejenis bubur dikenali sebagai Serawa Guli. Dalam Kecoh Dapur ini turut mengunjungi Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak iaitu berkunjung ke rumah Puan Siti Husna untuk melihat resipi juadah berbuka puasa yang disediakan buat tatapan penonton.

Menu yang dipaparkan ialah Labu Belalai Gajah, manakala Kak Uji menunjukkan demo masakan Ikan Keli Bersiram. Tidak ketinggalan juga menu Puding Cumi Cumi yang ditunjukkan oleh Kak Mek.

Seterusnya ke Kg. Kalung Tengah, Ulu Yam, Selangor. Amyza dan Ieda disambut oleh Cikgu Noraini yang bertindak sebagai tuan rumah yang menyediakan tempat untuk demonstrasi masakan.

Sebanyak tiga jenis menu disediakan untuk paparan para penonton iaitu Pucuk Ubi Goreng Rangup, Tampuyak Tang Kaluang dan sejenis pencuci mulut, Keladi Kalongan Rancak. Tips memilih keladi yang bersesuaian dan tidak ‘gatal’ juga dikongsi bersama.

Usah ketinggalan episod di Sahom Valley & Agro Resort, Perak. Mereka membawa penonton berkunjung persekitaran resort untuk melihat tarikan yang terdapat di situ seperti Petting Garden dan Mini Safari Park.

Menu yang dipaparkan kali ini ialah Embai Jantung Pisang oleh En. Arif. Tidak ketinggalan juga demonstrasi masakan Daging Hijau Menawo dan Sahom Labu Sengkuang oleh penduduk lain yang dilakukan secara bergotong royong.

Saksikan keseluruhan 26 episod ini di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ini Sebab Tahap Kesihatan Jet Li Merosot Tak Segagah Dulu

Celaka Tees By Tarik Jeans Launched At Malam Celaka