Penyanyi Andi Bernadee telah membuat laporan polis terhadap teman rapatnya atas dakwaan melakukan fitnah dan pecah amanah membabitkan kerugian hampir RM70,000.
Andi atau nama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 29, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada jam 10. 30 pagi tadi.
Menurut Andi, laporan polis dibuat terhadap individu terbabit yang dikenalinya lebih dua tahun.
Perbuatan tersebut menyebabkan dirinya hilang arah, terutama putus punca kewangan, khususnya pada waktu pandemik Covid-19.
“Laporan polis saya buat hari ini adalah disebabkan kes pecah amanah ke atas orang yang sangat saya percayai. Orang yang saya bawa masuk ke dalam industri seni. Saya memang tak sangka sebab dia sudah kacau periuk nasi saya, memalukan dan memfitnah saya.
“Sudahnya, dia pergi songlap duit saya. Setakat ini, duit yang lesap daripada saya berjumlah RM70,000. Duit saya bekerja tahun ini, saya tak merasa langsung duit itu.
“Duit hasil saya berlakon, duit projek saya dengan syarikat baju, dia kaut semualah. Tak sangka, sebab kami pernah menunaikan umrah dua kali bersama,”
– Andi Bernadee
Andi ditemani pengurus, Nasir Deraman dan peguambela, Faizal Rahman dari Faizal Rahman & Co.
Memperincikan lagi tentang apa yang dilakukan individu terbabit, pelantun lagu Donde itu memaklumkan, dia telah dimanipulasikan.
Andi mendakwa menyedari penyelewengan itu selepas bertanya kepada klien mengenai bayaran yang disangka belum diterima.
“Saya mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bayaran hasil kerja sejak awal tahun ini masih belum diterima.
“Apabila saya rujuk perkara itu kepada klien, mereka beritahu bayaran sudah dijelaskan kepada individu terbabit sebelum Aidilfitri lalu.
“Bertanya kepada rakan saya itu mengenai soal bayaran, dia beri alasan resit hilang dan klien belum melunaskannya, walhal dia songlap duit saya.
“Dia juga memanipulasi mesej WhatsApp saya dan menghantarnya kepada klien hingga mereka percaya lalu membuat transaksi bayaran ke akaun peribadinya,”
– Andi Bernadee
Andi mendakwa sudah bersemuka dengan individu terbabit untuk bertanya mengenai wang itu, namun, tiada maklum balas diberi.
“Saya bertemu dengannya pada 15 Ogos lalu untuk mendapatkan penjelasan. Namun, dia tidak mengendahkan pertanyaan saya itu.
“Malah, aksi yang ditunjukkan seolah tiada apa-apa yang berlaku. Kesal dengan sikapnya itu, saya memutuskan membuat laporan polis.
“Saya ambil tindakan ini kerana tidak mahu ada orang lain jadi mangsanya… Dia masih lagi aktif dalam industri seni,” dakwanya.
– Andi Bernadee
Tambah penyanyi kelahiran Sabah itu, dia mula mengesyaki aktiviti penyelewengan yang dilakukan individu tersebut sekitar Jun lalu.
“Saya menyedari duit ‘job’ saya tak masuk-masuk sejak awal tahun namun makin menjadi-jadi sejak Jun lalu. Dia cakap resit hilang, klien tak bayar lagi walhal klien dah bayar.
“Rupa-rupanya dia dah makan dah benda itu (duit). Dia bukan rakan kongsi, dia rakan baik saya dan kalau secara verbalnya, dia boleh dikatakan pembantu peribadi tapi kami tiada hitam putih. Jadi, dia hanya rakan baik yang menguruskan karier saya,”
– Andi Bernadee
Sebagai sahabat yang pernah membantunya sebelum ini, penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini tidak menyangka individu terbabit sanggup melakukan perbuatan itu.
Hampir menitiskan air mata, Andi berkata, dia runsing dengan apa yang berlaku terutama ketika pandemik Covid-19 yang semua orang terjejas termasuk dirinya yang bekerja sebagai seorang anak seni.
“Kalau tanya, saya serabutlah. Sebab kita semua tengah pandemik sekarang ini. Saya ada tanggungan keluarga. Mak ayah saya, adik-beradik sekolah semua saya yang tanggung.
“Apabila dia buat semua ini, memberi kesan kepada ibu bapa sebab mereka semua mengharapkan saya. Saya dah bersemuka dengan dia tapi dia hanya main telefon depan saya. Dia buat endah tak endah sahaja. Saya tiada nak pukul atau apa dan sudah bagi masa kepada dia lebih kurang sebulan.
“Dia buat bodoh tapi bukti semua ada sebab itu saya berani hari ini untuk tampilkan diri. Individu terbabit ada dalam industri ini, itu sahaja yang saya boleh beritahu.
“Kali terakhir saya jumpa dia pada 15 Ogos lalu untuk beri amaran. Saya sedar ada sesuatu yang ‘tak betul’ sejak Jun tahun ini. Kami sudah bersemuka, saya bagi muka dan sudah cakap bagus-bagus tapi dia terus-menerus memburukkan reputasi saya,”
– Andi Bernadee
Ke Mana Hilang Andi Bernadee?
JIKA sebelum ini netizen sering dihiburkan dengan gelagat dan aksi lucu Andi Bernadee, kini tiada lagi.
Andi dikatakan tidak lagi aktif dalam semua platform media sosialnya dan sepi hilang tanpa khabar berita.
Kehilangannya itu mencetuskan tanda tanya ramai yang tercari-cari ke mana perginya artis kegemaran mereka.
“Andi pergi mana? Tolonglah kembali,” komen seorang peminatnya.
“Dimanakah awak. Saya rindu cerita-cerita kelakar awak,” luah seorang lagi pengikut Instagramnya.
Hasil siasatan, kali terakhir Andi berkongsi fotonya dalam Instagram ialah sekitar Jun lalu. Lama sangat dah tu Andi.
Harapnya Andi sekarang berada dalam keadaan sihat dan mungkin gembira di samping keluarga. Doakan sama-sama ya.
*Sumber: Kosmo!