Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) merupakan sebuah organisasi belia tidak berasaskan keuntungan (NGO) yang juga merupakan badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM). MYHA juga adalah ahli kepada International Youth Hostel Federation yang beribu pejabat di Hertfordshire, England.
MYHA merupakan sebuah persatuan belia yang agak unik untuk para belia khususnya belia yang meminati aktiviti mencabar serta berminda kreatif dan minat mengembara. Semua ini merupakan elemen yang penting di dalam setiap aktiviti persatuan ini di samping objektif utamanya iaitu membangunkan belia dari segi jati diri dan kepimpinan. Ia juga merupakan platform kepada para belia yang ingin mengadakan aktiviti-aktiviti berkumpulan yang mendatangkan faedah kepada diri, masyarakat dan negara.
Sempena Hari Belia Negara 2012 yang berlangsung di Putrajaya pada 23-27 Mei 2012, MYHA dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Kementerian Pelancongan menganjurkan Karnival Pelancongan Belia 2012 (Youth Tourism Fair).
Majlis Perasmian Karnival Pelancongan Belia 2012 akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen , Menteri Pelancongan Malaysia pada tarikh yang berikut:
Tarikh: 26 Mei 2012
Masa : 10 pagi – 12 tengah hari
Tempat: Tapak Karnival Pelancongan Belia 2012, Presint 2, Putrajaya (berhadapan Kementerian Kewangan)
Karnival Pelancongan Belia 2012- Penggalakan pelancongan bajet untuk belia
Bagi memeriahkan lagi sambutan Himpunan Jutaan Belia Hari Belia Negara 2012, Persatuan Asrama Belia Malaysia atau lebih dikenali dengan singkatan nama MYHA (Malaysian Youth Hostels Associations) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sekali lagi menganjurkan Karnival Pelancongan Belia 2012 atau YTF 2012 (Youth Tourism Fair 2012), pada 23-27 Mei 2012.
Bertempat berhadapan Kementerian Kewangan di Presint 2, Putrajaya, MYHA, sebuah persatuan belia berdaftar sekali lagi diberi kepercayaan sebagai antara enam operator utama yang menjayakan Hari Belia Negara pada tahun ini menerusi pengelolaan Karnival Pelancongan Belia 2012 ini.
Seperti karnival yang berlangsung pada tahun lepas, Karnival Pelancongan Belia ini mendapatkan sokongan padu daripada pihak Tourism Malaysia dan agensi-agensi berkaitan pelancongan. Menambah kelainan pada tahun ini, akan terdapat juga penglibatan dari syarikat berasaskan perkahwinan terbuka untuk pengunjung.
Karnival pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr.Ng Yen Yen pada 26 Mei 2012 nanti pada jam 10 pagi.
Mensasarkan penglibatan lebih ramai belia dalam sektor pelancongan dalam dan luar negara, MYHA mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada Kementerian Pelancongan Malaysia dalam merangka program- program berkaitan pelancongan seumpama ini.
“Dengan menyediakan platform untuk belia mendapatkan pakej-pakej berpatutan dengan sosio-ekonomi mereka, MYHA percaya usaha ini akan dapat membantu meningkatkan lagi minat melancong dan meneroka dikalangan golongan belia dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor itu’, kata En.Ismail Mahyuddin, Pengarah Program Karnival Pelancongan Belia 2012.
Beliau berkata lagi, sebagai persatuan NGO, MYHA akan sentiasa menyokong segala program yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia khususnya untuk manfaat belia di Malaysia.
Selain itu, katanya, konsep pelancongan belia sudah banyak dijalankan di negara-negara lain yang mana rata-rata belianya gemar melancong secara ‘backpackers’.
‘Apabila mereka pulang dari melancong, mereka biasanya akan menceritakan kembali destinasi pelancongan yang mereka tuju kepada kawan-kawan mereka, dan adakalanya di blog. Ini amat bagus untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia secara meluas lagi’, tambah beliau.
Pada tahun ini, terdapat juga pameran Titian Cinta yang mengumpulkan butik-butik berkaitan perkahwinan yang menyediakan pakej-pakej perkahwinan yang berpatutan untuk para belia yang merancang untuk berkahwin. Karnival yang dianjurkan pada tahun ini juga menerima kunjungan 40 duta dari seluruh negara yang mengadakan lawatan ringkas ke tapak acara.
Karnival yang berlangsung selama 5 hari sempena Hari Belia Negara ini memuatkan pelbagai acara sampingan yang menarik seperti persembahan Angklung Antarabangsa dari empat negara (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) dengan kerjasama Absolute Thailand, Lawatan Belia dari Kota Pariaman, Indonesia, Jazz Festival, persembahan tarian, pameran ‘7 Wonders’ pertunjukan fesyen, pertandingan makan hotdog dan minum rootbeer bersama A&W, pertandingan menari bersama Ayamas, kursus grooming dan solekan serta cabutan bertuah yang menjanjikan hadiah menarik.
Antara penaja yang terlibat dalam program ini ialah Tourism Malaysia, Firefly, A&W, Ayamas, Mines Marketing, Absolute Thailand, Ellischa, Getgorgeous Boutique, Scarflet dan beberapa lagi.
MYHA
MYHA adalah salah sebuah badan gabungan di antara 40 badan gabungan di bawah Majlis Belia Malaysia.
MYHA adalah sebuah persatuan belia yang berkonsepkan aktiviti pelancongan di dalam negara dan di luar negara secara tidak langsung memberi impak kepada ekonomi negara melalui penggalakan sektor pelancongan kepada belia.
MYHA sekali lagi telah diberi kepercayaan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan sebagai salah satu daripada enam operator yang terlibat dalam menjayakan sambutan hari belia negara 2012 dan MYHA merupakan penganjur bagi segmen Karnival Pelancongan Belia.
Sambutan Hari Belia Negara adalah hari yang meraikan para belia di Malaysia yang disambut setiap tahun pada 15hb Mei.Justeru itu sebagai sebuah persatuan yang berdaftar dibawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) maka wajarlah MYHA menyokong dan bersama-sama menjayakan Hari Belia Negara sebagai inspirasi negara.
Objektif MYHA
1. Organisasi yang tidak berteraskan keuntungan
2. Identiti kearah aktiviti pelancongan
3. Untuk menarik rakan belia di luar Negara dapat melancong di dalam Negara dan sebaliknya.
Misi MYHA
1- Menjadikan ahli persatuan berani meneroka di dalam bidang yang diceburi dan menambahkan ilmu pengetahuan di dalam kehidupan yang berdaya kreatif serta kreatis di dalam aktiviti yang dilaksanakan.
Visi MYHA
1- Menjadikan ahli persatuan mencapai motto yang dipegang di dalam persatuan melalui misi yang telah dibentangkan.
Lagu MYHA
Penyanyi – Ajieb, Linda Shampoo, Omar K dan Feeya
Slogan
‘Meneroka, Berilmu, Kreatif’
YOUTH TOURISM FAIR 2012
Objektif –
1- Menyediakan maklumat mengenai sektor pelancongan dalam negara dan luar negara.
2- Menjadikan golongan muda aktif dan kreatif.
3- Menggayakan cara hidup yang sihat dan dinamik.
4- Memberi peluang kepada para belia untuk melancong dengan pakej yang murah dan bersesuaian.
5- Menyediakan pameran butik perkahwinan yang menyediakan pakej berpatutan untuk belia yang merancang untuk berkahwin.
Kelebihan- –
1- Pelbagai agensi swasta yang berkaitan dengan pelancongan,perkhidmatan dan pengangkutan di dalam negara.
2- Pakej yang murah untuk para belia yang berminat untuk melancong.
3- Penglibatan program antarabangsa – Persembahan Angklung Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Pameran 7 Wonders, dan Lawatan Belia dari Kota Pariaman, Indonesia.