Penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Kanye West, telah dituduh menghina Islam gara-gara nama yang diberikan kepada rangkaian kasut Yeezy yang baru dikeluarkannya dengan kerjasama Adidas pada hujung minggu lalu. Bantahan dari netizen ini muncul sejurus selepas Adidas mengumumkan nama koleksi Yeezy yang baru, iaitu Israfil dan Asriel.
Seperti yang dilaporkan menerusi NME, Israfil adalah malaikat yang akan meniup sangkakala pada hari kiamat. Sementara itu, Asriel adalah nama salah satu malaikat maut.
Difahamkan Yeezy Boost 350 V2 Israfil sudah berada di pasaran, manakala Yeezy Boost 350 V2 Asriel bakal dilancarkan pada bulan hadapan.
Nama yang diberikan kepada dua jenis kasut tersebut dianggap menghina Islam kerana menyerupai nama Malaikat Israfil (peniup sangkakala) dan Asriel adalah salah satu malaikat maut.
“Adidas menghina Islam. Israfil adalah salah satu daripada empat malaikat dalam Islam. Ini memalukan @adidasoriginals dan @kanyewest,” tulis salah seorang netizen yang dipetik oleh NME.
Tidak lama selepas itu, netizen lain mengancam untuk berhenti membeli produk Adidas sekiranya nama barisan kasut baru West tidak diubah.
“Kepada @adidas, saya akan berhenti membeli dan menggunakan produk anda jika kasut Kanye West terbaru tidak diubah kerana ia benar-benar tidak menghormati Islam. #ShameOnKanyeWest #ShameOnYeezy,” katanya.
Sehubungan itu di media sosial rata-rata pengguna mula melancarkan kempen untuk memboikot Adidas sekiranya mereka tidak menukar nama kasut tersebut.
Mereka menganggap Adidas melampau dan menghina Islam serta melakukan perkara memalukan.
Sebuah petisyen menerusi laman web change.org turut diwujudkan agar Adidas menukar nama barisan kasut terbaru Yeezy itu.
Dalam petisyen itu juga mengajak semua umat Islam untuk memboikot produk Adidas, merampas semua pembelian produk Adidas oleh kedai runcit Muslim sehingga Adidas menghentikan pengeluaran jenama baru ini.