Kampus Astro tawar kelebihan kepada murid UPSR
Ulang kaji UPSR kini boleh didapati di 3 buah saluran, 4 jenis bahasa dan dalam 9 mata pelajaran
Kampus Astro telah melancarkan ulang kaji Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di tiga buah saluran dalam empat jenis bahasa untuk membantu murid-murid di Malaysia menghadapi peperiksaan umum pertama mereka. Bagi meneruskan komitmen Astro untuk menyediakan peluang pendidikan sepanjang hayat, ulang kaji UPSR akan ditayangkan di saluran Astro, Tutor TV, Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil untuk memenuhi tuntutan akademik di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk murid-murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).
Kandungan UPSR Astro adalah berdasarkan 100% daripada sukatan pelajaran sekolah di Malaysia. Merangkumi sembilan mata pelajaran yang diuji dalam peperiksaan UPSR termasuk Bahasa Inggeris, Sains, Matematik serta Pemahaman dan Penulisan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil. Murid- murid dari sekolah kebangsaan boleh menonton Astro Tutor TV yang menawarkan ulang kaji dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, manakala murid-murid di sekolah rendah Cina (SJK-C) dan Tamil (SJK-T) boleh memilih untuk mengulang kaji pelajaran dalam bahasa penghantar masing-masing di Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil. Setiap satu saluran ini akan menonjolkan program ulang kaji UPSR dengan ciri-ciri holistik dan menghiburkan yang dipenuhi dengan contoh soalan peperiksaan, tip-tip dan pelbagai nasihat berguna untuk menghadapi peperiksaan.
Menurut Ketua Pendidikan Astro, Yasmin Megat “Saluran ulang kaji pelajaran yang pertama seumpamanya di Malaysia, Tutor TV yang dilancarkan pada tahun lalu telah mencatatkan jumlah tiga juta penonton mengikuti saluran ini menjelang peperiksaan. Bertitik tolak daripada sambutan yang amat menggalakkan ini, kami amat berbesar hati untuk memberikan tawaran yang lebih komprehensif pada tahun ini, bukan satu tetapi tiga saluran iaitu Astro Tutor TV, Astro Xiao Tai Yang dan Astro Vaanavil yang dipenuhi dengan penglibatan ulang kaji dan interaktif. Matlamat kami adalah untuk memberi kelebihan tambahan kepada murid-murid menjelang peperiksaan”.
Sebuah kajian telah dilakukan di peringkat antarabangsa menyokong peranan yang dimainkan pihak televisyen dalam menggiatkan usaha di bidang pendidikan menerusi kegunaan bunyi, warna dan pergerakan. Kajian mendapati kanak-kanak yang menonton rancangan pendidikan beberapa jam seminggu lebih menyerlah dalam ujian pencapaian yang dijalankan berbanding rakan-rakan mereka yang lebih gemar menonton rancangan hiburan semata-mata. Rancangan pendidikan di televisyen juga sering dikaitkan dengan kemahiran akademik yang lebih baik, pemulihan dan persediaan belajar.
Program UPSR Astro telah dibangunkan dengan sokongan panel guru yang berpengalaman dan direka untuk melengkapi pembelajaran bilik darjah. Setiap tiga saluran ini mempunyai keunikan karektor animasi yang tersendiri dan direka untuk membantu murid-murid mengulangkaji pelajaran. Astro Xiao Tai Yang menampilkan guru berbahasa Mandarin bernama Emily dan anak muridnya, Jay manakala Astro Vaanavil membawa Mr. Arivalagan dan anak muridnya Divya yang akan berbahasa Tamil.
Sementara itu di saluran Astro Tutor TV, Cikgu Arif bersama-sama Ali dan Illa akan membuat ulangkaji yang menyeronokkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris .
Astro turut menggunakan teknologi digital untuk memantapkan proses pembelajaran dengan menawarkan ulangkaji UPSR melalui televisyen, online dan melalui aplikasi interaktif butang merah. Murid-murid boleh meningkatkan waktu belajar mereka dengan menggunakan butang merah di saluran Tutor TV untuk menguji diri sendiri, kajian semula formula dan nota ringkas serta menghitung hari menjelang tarikh peperiksaan. Kemudahan interaktif ini boleh didapati di www.astro.com.my/examtutor yang turut membolehkan murid-murid menjawab soalan-soalan kuiz dan menonton episod-episod yang ketinggalan.
Tambah Yasmin Megat, “Kandungan ini memberikan kelebihan samada kepada ibu bapa mahupun anak-anak di rumah. Sebenarnya kami amat menggalakkan ibu bapa untuk menonton dan membuat ulang kaji bersama-sama anak-anak mereka sebagai tanda sokongan yang boleh meningkatkan tahap keyakinan dan pengalaman belajar. Sebagai meneruskan komitmen Astro terhadap pendidikan, kandungan yang disediakan secara percuma kepada setiap sekolah kerajaan di Malaysia ini juga boleh digunakan oleh para guru sebagai alat bantu mengajar di bilik darjah.”
Bermula 26 Mac ini, tontonlah siri terbaru UPSR di ASTRO TUTOR TV (Saluran 601), Astro XIAO TAI YANG (Saluran 325) and Astro VAANAVIL (Saluran 201). Kesemua tiga saluran ini termasuk dalam pakej asas dan boleh didapati oleh semua pelanggan Astro. Bagi yang berbahasa Mandarin, UPSR Shi Jian akan keudara pada pukul 10.30 pagi dan 4.30 petang dari hari Isnin hingga Jumaat dan 2.00 hingga 5.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad di Astro Xiao Tai Yang bermula 26 Mac ini. Manakala bermula 28 Mac ini, mereka yang berbahasa Tamil boleh mengikuti UPSR Neram di Vaanavil pada pukul 6.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat dan pukul 10.00 pagi pada hari Sabtu dan Ahad.