Katanya, pendedahan berkenaan dilakukan bukan untuk memperbesarkan episod lalu, sebaliknya sekadar menutup perkara yang sudah dibuka sebelum ini.
“Seperti yang dah dimaklumkan, status perkahwinan antara saya dan bapa kepada anak-anak saya adalah telah sah bercerai.
“Bukanlah nak besarkan, sekadar nak tutup apa yang telah dibuka sebelum ini,” katanya menerusi perkongsian Instagram, malam tadi.
Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak menyatakan tarikh perceraian mereka.
Terdahulu, pada Februari lalu Natiqah menerusi beberapa hantaran dalam Instagram Story mendakwa rumah tangga mereka mula berantakan selepas kecurangan terbongkar.
Malah, dia juga mendakwa sudah menghalau penyanyi BudakFlat itu dari rumah kerana tidak tahan dengan penipuan selama ini.
Namun wanita itu tidak mendedahkan status rumah tangga mereka walaupun mendakwa Aman RA atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, 34, telah melafaz cerai sebanyak empat kali.
Sementara itu, katanya segala yang berlaku sebelum ini telah menjadi sejarah yang tidak perlu diungkit selain menegaskan bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa.
“Saya belajar untuk bersuara, terbuka, berhadapan realiti dan terima semua dalam keadaan yang sangat bergelut dengan bermacam emosi.
“Saya bukan orang yang saya kenali selama ini. Siapa salah, siapa betul, siapa yang mula, siapa yang melaratkan semua itu dah jadi sejarah.
“Pilihan kehidupan, masih ada banyak jalan. Masih ada lagi panjang masa jika diberi Allah untuk rezeki umur yang panjang,” tambahnya.
Menerusi perkongsian sama, Natiqah turut memohon maaf kepada semua pihak atas segala kekurangannya malah mengakui dia sedang belajar memperbaiki diri.
“Saya belajar, sebagai seorang ibu, anak, ahli keluarga dan wanita. Banyak saya belajar walaupun perjalanannya sukar. Apa yang penting saya belajar daripada yang telah terjadi.
“Saya hanya mahu pandang ke hadapan. Tak mahu lagi toleh ke belakang.
“Kepada semua wanita, jangan berhenti. Teruskan. Ini perjalanan bukan destinasi. Ada kehidupan yang lebih baik di hadapan menanti,” katanya.
Hasil perkongsian hidup dengan penyanyi rap itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Ratu Raiqa dan Tuah Khalifa.
*Sumber: K! ONLINE