Lebih 25,000 orang pengunjung membanjiri Esplanade, Alamanda Putrajaya pada hari Sabtu, 19 Disember lalu, seawal 10.00 pagi lagi. Malah kempen amal #KAMIBERSAMAMU yang merupakan festival amal terbesar tahun ini berjaya mengutip lebih RM1 juta sejak kempen itu berlangsung pada pertengahan awal tahun 2015.
Festival yang pertama kali dianjurkan TV3 itu bertujuan bagi mendapatkan dana untuk mengisi Tabung TV3 Bersamamu, seiring sambutan ulangtahun ke -10 rancangan khidmat masyarakat ‘Bersamamu’ bersiaran.
KEMPEN KAMI BERSAMAMU TV3 CAPAI SASARAN LEBIH RM1JUTA BUKTI KEPRIHATINAN RAKYAT MALAYSIA
[dropcap]R[/dropcap]ata-rata pengunjung Festival #KAMIBERSAMAMU bersedia menghulurkan bantuan mereka dengan terlibat dan mendapatkan barangan yang dijual untuk tujuan amal. Malah ramai selebriti turun padang bagi menunjukkan sokongan mereka. Antaranya ialah Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Janna Nick, Izzue Islam, Shukri Yahaya, Nadzmi Adhwa, Syarul Ridzwan, Dayana Roza, Elizad Sharifuddin, Amar Asyraf, Azrel Ismail, Encik Mimpi, Ezzaty Abdullah, Azwan Kombos dan personaliti TV seperti Ally Iskandar, Teh Syuhaida, Irin Putri Azmi, Fiza Sabjahan dan ramai lagi mengambil kesempatan melelong barangan peribadi mereka bagi menambahkan dana Tabung TV3 Bersamamu.
Namun apa yang mencuri perhatian pada hari tersebut ialah ‘Penangan Mia Ahmad’. Pelakon yang begitu sinonim dengan drama Akasia: Hati Perempuan berjaya melelong cincin peribadi kepunyaan beliau pada harga yang paling tinggi dan mengejutkan. Cincin Mia yang dibeli pada harga kurang RM400 itu berjaya dilelong dengan harga RM2,400 hasil bidaan peminat setianya. Keadaan ketika itu amat gamat apabila dua pembida yang masing-masing meminati Mia Ahmad saling meningkatkan harga. Namun Ismadiyana binti Mat Yaacob@Yusuf berjaya membawa pulang cincin pelakon kesayangannya.
Rata-rata barang lelongan artis adalah barang berkualiti yang memang ingin dimiliki orang ramai. Dalam masa yang sama, Janna Nick juga melelong patung kesayangannya. Berbeza dengan lelongan sebelum ini, pembida tertinggi juga mendapat peluang minum petang bersama Janna Nick.
Selain itu, gerai ‘Bersamamu’ turut membawa beberapa keluarga daripada episod rancangan itu sebagai inspirasi kepada masyarakat. Malah adik Mime yang menjadi pencetus kepada kempen Travelling Beruang juga dibawa untuk berkongsi kisahnya.
Penampilan maskot Boboiboy, Upin dan Ipin, seni kraf, persembahan akustik, karaoke, lelongan barangan eksklusif, sesi ramah mesra bersama para artis, seni hias kek cawan, jualan aiskrim, ujibakat pengacara MBuzz dan seni mengecat wajah adalah di antara aktiviti yang diadakan sepanjang festival itu.
Menutup tirai festival itu adalah pengumuman kutipan sasaran lebih RM1 juta berjaya dikutip Tabung TV3 Bersamamu sepanjang 2015. Antara syarikat korporat yang sudi menyumbang ialah TM, Faiza, serta beberapa syarikat produksi. Sejurus siaran langsung itu, sebuah konsert amal #KAMIBERSAMAMU menampilkan Dayang Nurfaizah, Sakura Band, Sandra, Drama Band dan Aziz Harun berjaya menggamatkan suasana di pentas utama. Malah Dayang Nurfaizah juga mengambil kesempatan melelong persembahan istimewanya kepada mana-mana syarikat korporat atau individu yang sudi mendermakan sejumlah dana yang signifikan ke Tabung TV3 Bersamamu.
Sebanyak sembilan (9) lintas langsung telah dibuat sepanjang 12 jam festival amal #KAMIBERSAMAMU itu berlangsung pada Sabtu lepas. Ini merupakan sejarah bagi pihak TV3 sendiri yang mana pertama kali melakukan lintang langsung paling kerap sekali. Manakala dua rancangan juga disiarkan secara langsung dari tapak Esplanande, Alamanda Putrajaya iaitu sebuah rancangan khas `Kami Bersamamu’ yang di acarakan oleh Teh Syuhada dan Fiza Sabjahan selama 30 minit bermula jam 10.30 pagi dan rancangan Muzik-Muzik mingguan yang telah diacarakan oleh Fizi dan Liza dari HotFM.
Kempen #KAMIBERSAMAMU sebelum ini dijalankan berperingkat-peringkat sebagai aktiviti sampingan di dalam beberapa program jelajah anjuran TV3 seperti di Karnival Jom Heboh 2015. Selain dari itu, pihak TV3 juga melancarkan kempen cabaran menerusi media sosial yang dinamakan cabaran #cilipadichallenge.
Kempen #cilipadichallenge ini turut mendapat perhatian ramai, menyaksikan beberapa selebriti terkenal seperti Erra Fazira, Umie Aida, Jaclyn Victor, Nurul Wahab, Ning Baizura, Sarah Fazny, Zara Zya, Jaafar Onn, Anis Al Idrus, Fizo Omar, Akim, Hazama, Black, Shah Iskandar serta personaliti TV dan Radio Media Prima Berhad menyahut cabaran mengunyah cili padi sebagai mesej kesedaran ‘empati’.
Melihat kepada maklum balas positif orang ramai, acara festival itu dijangka bakal dianjurkan lagi oleh pihak TV3 bagi menanam sifat bantu-membantu untuk mereka yang memerlukan. Acara tersebut juga mendapat publisiti meluas melalui kerjasama daripada Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).
Hulurkan tangan, ringankan beban.Teruskan menyumbang di akaun:
Amanah Raya Bhd Tabung TV3 Bersamamu BSM
Maybank: 564 324 129 973