PELAKON Kamal Adli berkata, kontroversi percintaannya dengan Emma Maembong menjadi parah disebabkan Zahirah MacWilson cuba menikam dari belakang sedangkan perkara itu sudah diselesaikan secara baik sebelum ia dilaporkan media.
Jelas Kamal, dia sudah menjelaskan situasi sebenar kepada Emma dan teman lelaki Zahirah iaitu Zul Ariffin menerusi tiga pertemuan sebelum ini malah meminta maaf kepada aktor itu sekiranya wujud salah faham.
“Saya keluar bersamanya (Zahirah) bersama dua lagi rakan kami. Ia merupakan kesalahan saya dan saya sudah terangkan kepada Emma dan Zul. Tetapi yang peliknya ketika pertemuan kali ketiga dengan kehadiran Emma dan Zul, dia tiba-tiba memutar belit kenyataan sehingga saya sendiri terkejut.
“Anda bayangkanlah bagaimana Emma tak marah dan mula berprasangka buruk terhadap saya? Dari situ hubungan kami bermasalah dan sehinggalah Emma keluarkan kenyataan tentang hubungan kami,” kata Kamal.
Kamal dan Zahirah digandingkan dalam drama ‘Duda Pujaan Dara’ sebelum kontroversi ini berlaku.
Kamal ditemui sejurus diumumkan sebagai juara program Super Spontan Superstar 2017 yang diadakan di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, malam Jumaat. Pelakon itu menerima RM100,000 sebagai hadiah kemenangannya berserta trofi.
Dalam pada itu Kamal tidak menyalahkan Emma yang mengatakan hubungan mereka telah putus kerana aktres itu berada dalam keadaan marah. Ingin meletakkan noktah kepada kontroversi melanda dirinya, Kamal secara terbuka memohon maaf atas apa yang berlaku.
“Secara terbuka saya ingin meminta maaf sekali lagi kepada Emma, harap orang luar jangan salahkannya. Dia adalah teman wanita saya dan dia ada hak untuk rasa apa yang dia rasa (berhubung kontroversi). Perempuan mana yang tak naik angin apabila orang dakwa teman lelakinya terhegeh-hegeh dengan perempuan lain dan tidak dilayan pula,” katanya.
Sementara itu, Kamal berkata, isu tersebut menggangu perhatian dia terhadap pertandingan akhir Super Spontan Superstar ditambah dengan kejadian motosikal berkuasa tinggi miliknya dikebas orang.
“Sudah jatuh ditimpa tangga orang kata. Memang semangat saya hilang sehinggakan tumpuan terganggu.
“Tetapi Alhamdulillah, sesuatu musibah itu pada akhirnya diganti dengan kemanisan dan kemenangan. Ini sedikit sebanyak mengubat kedukaan saya walaupun tidak pernah menjangkakannya,” ujar Kamal.
Ditanya mengenai hubungannya dengan Emma, Kamal menganggap kehadiran pelakon itu menyaksikan pertandingan tersebut memberi tanda positif namun dia mengambil mendekatan untuk melalui tempoh bertenang.
“Saya tahu dia tengah marah, kami sedang berusaha memperbaiki keadaan namun kedatangannya pada malam ini sudah cukup buat saya gembira dan ia tanda positif,” ujarnya.
Sumber: Mstar Online