Sambil berterus-terang, kata Shila Amzah, ini adalah kali pertama dia merakamkan foto muka hadapan akhbar Melayu setelah lapan tahun kejadian lalu itu berlaku.
Tentang kejadian itu. Ya, diam tak diam sebenarnya selama itu tempoh gerakan ‘pemulauan’ terhadapnya dilancarkan. Membuatkan ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang dirasakan oleh penyanyi ini ketika mengharungi sebuah bala yang tidak diingini.
Pun begitu, bukanlah mahu terlalu mengungkit hal lama. Malah, baru-baru ini pun, Shila sudah pernah melontarkan kata maaf terhadap semua media berbahasa Melayu meski bukanlah secara total kesalahan wajar diletakkan di bahu penyanyi ini.
Menoleh ke belakang, Shila tahu, sehingga kini tiada yang dapat meneka apa sebenarnya yang dirasakan setelah satu demi satu episod hitam hadir menerpa hidupnya tanpa kiriman salam.
“Siapa yang nak berada dalam situasi buruk? Tapi itulah, inilah yang dinamakan ujian hidup. Allah SWT hadirkan saya dengan rezeki yang banyak, sangat luar biasa masa itu, tapi adalah ujiannya. Itu tanda Dia sayang.
“Kalau nak ceritakan semua, walau apa yang berlaku sebelum itu lagi, orang tak akan percaya, banyak benda yang saya lalui. Kalau kumpulkan semua, entah-entah boleh buat buku. Dalam tekanan yang ada, saya hanya mampu fokuskan minda pada kerja saja.
“Masa itu, saya fikir, kita tak boleh buat semua orang sukakan kita. Ia tak seronok. Cuma saya akui, pada kebanyakan perkara, selama ini, banyak yang terbungkam dalam hati, tidak terluah, suara saya tak dapat didengari, ada limitasi,” katanya.
Percaya bahawa bukan cuma dirinya berada dalam situasi begitu, artis ternama seperti di Korea mahupun di China juga berdepan dengan isu limitasi bersuara. Malah, mungkin saja hal itu sudah dianggap normal.
“Apa yang saya lalui, dari kecil lagi sudah dilatih untuk mengikut saja. Bila masuk alam dewasa, ia jadi masalah. Apa-apa perkara yang disuarakan, ditolak, suka atau tidak, saya kena pandai masukkan semua itu di bawah karpet. Sorok rasa sendiri yang terbuku.
“Tapi semua itu tak membuatkan saya menyesal, hanya pengajaran. Kalau saya cakap menyesal bererti saya tak move on. Disebabkan limitasilah, ia menjadikan saya manusia kuat walau secara zahir orang tengok saya macam tak ada perasaan.
“Mungkin selama ini bila saya terima saja semua benda, ia membuatkan saya mudah menyerap hal positif dan negatif itu secara natural. Malah saya pernah tolak nak jumpa pakar terapi. Sebab tahu, kalau pergi, saya yakin akan banyak ‘sakit’ yang dapat dikesan pada diri. Takut nak pergi.
“Di sebalik apa yang dilalui, disimpan dan ditelan, saya tahu, ada orang lain yang melalui perkara lebih malang lagi daripada apa yang saya hadapi. Maka, dari situ, saya tahu, perlu menjaga dan berbuat baik pada diri sendiri walaupun sebenarnya, trauma itu susah nak hilang. Termasuklah perihal cerai,”katanya.
Mengeluh panjang, tambah Shila, bergelar anak seni juga secara tidak langsung menjadikan dirinya sudah terbiasa dan terlatih untuk hanya memaparkan cuma yang indah sahaja.
Memintanya untuk menjelaskan tentang itu, Shila mengaku akhirnya dia sendiri yang harus mendapatkan kunci untuk keluar daripada ruang kekalutan itu dengan cara menamatkan semuanya.
“Akhirnya, saya cakap pada diri, kena tarik brek tangan kalau macam ini. Sebab, saya bukan lagi saya,” katanya.
Pernah rasa nak b. unuh diri…
Membawa Shila untuk berkongsi asal cerita yang membuatkan dirinya terus dibelenggu dengan satu per satu derita jiwa, penyanyi ini tidak menolak saat dia mula mengenali lelaki dalam hidup, dalam konon bahagia yang dirasa, ia juga mengheret derita pada masa sama.
“Masa usia saya 20 tahun ke bawah, semuanya okey. Kemudian, saya pergi China dan semua benda ini berlaku. Ingat tak saya pernah lari dari rumah seminggu? Itu adalah momen paling terendah dalam hidup saya. Rasa nak bu. nuh diri. Bekas kekasih bergaduh dengan ibu bapa dan mereka guna media untuk saling berbalas. Tak pernah jumpa.
“Siapa jadi mngsa? Saya! Masih saya ingat, sampai ada pengawal peribadi jaga saya, takut. Saya putuskan menetap di China. Tapi, di sana pun limitasi. Sebab orang kenal. Jadi tak boleh nak keluar sesuka hati.
“Kemudian, satu persatu titik hitam muncul. Kalau orang tanya tentang macam mana hidup saya, ya saya memang tak ada life! Hidup saya memang gil4!”katanya.
Terpaksa memendam rasa sendiri, kata Shila, kerjaya juga harus terlihat bagus dalam masa yang sama. Kerana itu, dia tahu dirinya harus bijak menggerakkan ‘permainan’ industri.
“Banyak benda yang saya tak boleh cakap pada umum. Kalau saya cerita, maka bergegarlah Malaysia in”cci. Dalam industri ini pula, ada satu ‘permainan’ yang awak kena pandai main, tapi saya adalah artis yang paling tak bijak memainkannya.
“Bila cakap sesuatu pun saya dilatih untuk cakap perkara yang patut saja. Tapi lepas apa yang terjadi, saya dah malas nak ikut ‘peraturan’ itu. Tengoklah Britney Spears. Sekarang dia lebih bebas. Dia nak cakap apa, dia cakap. Dia nak buat apa, dia buat,” katanya.
Tidak menyesal kahwin, cerai
Berbalik kepada perasaannya, bayangkan, selama bertahun-tahun lamanya mengharungi episod hitam, dia akui baru ini merasai nikmat kebebasan sebenar.
Barangkali menjadi bahan ejekan atau canda orang, siapa sangka di usia 32 tahun, penyanyi yang sudah bertaraf antarabangsa sepertinya ini baru berpeluang untuk menghirup nafas lega sebagai seorang manusia yang merdeka daripada belenggu hidup.
“Saya tak menyesal dengan tindakan ibu bapa, juga tidak menyesal dengan keputusan untuk berkahwin dan bercerai dengan bekas suami. Semua ada kemanisan dan hikmahnya. Tapi, terus-terang, saya semakin bahagia kini.
“Semua benda jadi semakin baik walaupun tidak seratus peratus sempurna, tapi apa yang boleh saya katakan, ya, saya lebih tenang dan gembira sekarang. Saya mahu jadi sihat dari segi mental dan fizikal bukan cuma untuk diri, tapi untuk satu-satunya anak saya, Seth Uwais.
“Dia adalah satu anugerah daripada Tuhan. Kalau pun saya memang ditakdirkan perlu melalui semua pengalaman hitam itu untuk dikurniakan Seth, saya sanggup. Ketika segala kekalutan berlaku dalam hidup sebelum ini juga, saya cuma terfikirkan dia. Saya kena kuat demi dia,”katanya.
Mengusiknya dengan pertanyaan sama ada dia kini sudah serik untuk berkahwin lagi, hal itu bagaimanapun dinafikan oleh Shila.
Katanya, tiada istilah dia mahu menutup pintu hati buat mana-mana lelaki lain yang ingin mendekati kerana percaya, setiap individu adalah berbeza.
“Cuma, iyalah, sebelum ini, alam lebih mengerti dan saya pula kebetulan asyik bertemu dengan lelaki yang salah. Iyalah, nama pun jodoh. Setakat ini, boleh dikatakan saya belum lagi bertemu dengan lelaki yang benar-benar baik terhadap saya.
“Mana tahu, lepas ini ditakdirkan berjumpa dengan yang lebih baik. Siapa tahu bukan? Saya pun tak pernah rasa pengalaman dating sebenar. Sumpah! Nanti kita cerita yang itu ya!”katanya seraya ketawa kecil, menutup bicara.
‘Selepas 30 Tahun Berkahwin Mereka Sedang Melalui Fasa Sukar’
Dalam temu bual berkenaan, Shila turut menjawab dakwaan kononnya hubungan rumah tangga ibu bapanya iaitu Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman kini sedang berdepan masalah.
“Dia macam separuh pokok bergoyang, memang mereka sedang melalui waktu sukar tapi tidak lagi bersama itu tak betul!
“Selepas 30 tahun berkahwin mereka sedang melalui fasa sukar… saya harap doakan yang terbaik untuk mereka terutamanya ibu saya,” ujarnya.
Untuk rekod, Shila Amzah pada tahun 2015 menyaman Kosmo selepas akhbar itu melaporkan penyanyi tersebut membuat persembahan dengan tajaan sebuah syarikat judi.
Dalam saman itu Shila Amzah kalah dan diperintahkan membayar kos sebanyak RM20,000 kepada akhbar itu selaku defendan.