Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Sarah ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur bagi proses perceraiannya bersama suaminya, Syamsul Yusof, hari ini.
Terdahulu, Syamsul dikhabarkan enggan menceraikan isteri pertamanya itu selepas memintanya untuk mengurangkan kadar tuntutan nafkah dan menarik semula kes pertuduhan terhadap keluarga isteri keduanya, Ira Kazar.
Namun, Sarah menegaskan bahawa dirinya tidak akan menarik semula kes tersebut demi mempertahankan haknya bersama anak-anaknya, Syaikhul Islam dan Summayah.
Menurut Sarah, tuntutan yang dibuat terhadap suaminya itu tidak keterlaluan, malah Syamsul juga mampu untuk membayarnya.
Bukan itu sahaja, Sarah juga menyatakan dia sudah berbincang dengan ibu bapanya termasuk keluarga mertuanya terlebih dahulu berkenaan tuntutan nafkah yang tidak melebihi RM1 juta.
“Soal tuntutan, saya sudah berbincang dengan ibu bapa mentua, mereka juga bersetuju dengan tuntutan, tiada masalah.
“Apa-apa saya akan berbincang dengan ibu bapa saya dan mentua. Mereka bersetuju, malah mengatakan tuntutan saya hanya sedikit.
“Tetapi, saya tidak mahu minta banyak pun. Saya minta apa yang dirasakan munasabah. Dan saya tak minta bayar sekali gus, sebaliknya ansur-ansur secara bulanan,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon itu juga tetap bertegas untuk terus berjuang demi menuntut hak kedua-dua cahaya matanya itu.
“Syamsul pernah berjanji jika ada rezeki nak bagi rumah. Sebab tempat tinggal anak-anak kena sediakan, tetapi itu pun tiba-tiba tak mahu bagi.
“Seperti yang saya katakan, kalau nak bersama isteri kedua, pergilah, tetapi nafkah anak-anak janganlah kurangkan,” katanya.
Susulan penangguhan perceraian tersebut, peguam yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan bahawa prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei depan.