Tempoh empat tahun berjalan di laluan seni tanah air, Nor Atiqa Noor Azraff atau nama pentasnya Kaka Azraff dilihat terus melangkah ke hadapan dengan gaya tersendiri. Satu demi satu singlenya bermula dengan ‘Bawaku Pergi’ pada tahun 2012, ‘Infiniti Cinta’ (2013) dan ‘Terpulanglah’ (2014) berhasil menjadi siulan dan melekat di halwa telinga peminat. Demi terus mengekspresikan cintanya yang mendalam terhadap dunia nyanyian, kini Kaka mempersembahkan buah tangan baharu kepada peminat dengan lagu yang berjudul, ‘Bukan Hal Aku’.
Single ‘Bukan Hal Aku’ yang merupakan ilham sepenuhnya oleh The GoodFellas ini menjadi lebih istimewa apabila memperdengarkan dan memperlihatkan vokal bertenaga Kaka dan pada waktu yang sama, turut mengadun vokal Alif dan Syarif dari SleeQ bagi melengkapi keindahan lagu ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai single baharunya, wanita berusia 26 tahun itu berkata, beliau cukup teruja dapat mendendangkan lagu ‘Bukan Hal Aku’ yang diyakini mempunyai aura yang tersendiri untuk diangkat sebagai single baharunya pada tahun ini.
“Pertama kali mendengar lagu ini, saya terus jatuh hati ibarat cinta pandang pertama. Saya sangat menyukai melodi dan liriknya yang kedengaran santai, namun ia memperdengarkan impak berbeza daripada tiga buah single saya sebelum ini. Sejak itu, saya terus memberitahu kepada pihak pengurusan, Uprising Entertainment Sdn. Bhd. untuk menjadikan lagu ini sebagai hadiah terbaharu saya kepada peminat.
“Saya rasa lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Bayangkan, saya tidak mengambil waktu yang panjang untuk merekodkan lagu ini. Dianggar hanya beberapa jam sahaja sesi rakaman dijalankan kerana saya sudah melakukan persediaan awal sebelum memasuki studio,” ujar Kaka yang turut berkongsi perkhabaran gembira dengan perlantikan diri sebagai Red Ribbon Celebrity Supporter untuk Malaysian AIDS Council baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut tentang single ini, Kaka memberitahu, ‘Bukan Hal Aku’ tidak terarah kepada sebuah naskhah ordinari yang biasa didengari oleh khalayak sebelum ini. Ia sebaliknya didatangkan dalam pakej yang dapat menyuntik aspirasi buat golongan wanita untuk kekal bersemangat dalam menjalani setiap situasi yang hadir dalam kehidupan masing-masing.
Dalam pada itu, Pengurus A&R Warner Music Malaysia, En. Mokhtaza Ahmad pula berkata, “Pertama kali pihak kami mendengar demo lagu ini yang diberi oleh The GoodFellas untuk diperdengarkan, pihak Warner Music Malaysia dan Uprising Entertainment terus berbincang dan bersetuju untuk turut menggandingkan SleeQ bersama Kaka kerana pada kami, gandingan mereka berdua ini akan memberi satu impak yang yang luar biasa terhadap lagu ini.
Dan pada saya, Kaka mempunyai satu karakter yang berbeza dan tersendiri dengan gaya penyampaian pada sesebuah lagu itu manakala, Alif pula telah dipilih sebagai penerbit bagu lagu ini.”
Tidak hanya itu, ‘Bukan Hal Aku’ turut menampilkan video muzik yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Ghaz Abu Bakar. Sesi penggambaran video muzik ini telah dijalankan pada 14 Februari lalu yang berlatarkan sebuah studio di Sunway Damansara dengan bantuan seramai 10 krew produksi. Ia turut menampilkan kemunculan khas oleh SleeQ dan kawan baik Kaka yang merupakan aktres, model dan hos popular, Juliana Evans.
Rakaman tersebut bermula sekitar jam 9.00 pagi dan berakhir 3.00 pagi keesokan harinya. Video muzik ini dibikin mengikut cantuman idea Ghaz bersama syarikat pengurusan Kaka yang mahukan kelainan dengan mempersembahkan eleman futuristik.
“‘Bukan Hal Aku’ adalah sebuah video muzik yang saya cuba ‘bermain’ dengan fesyen terkini yang dilihat bersesuaian dengan lagu dan imej Kaka. Ia kelihatan ‘simple’, tetapi elegan,” jelasnya ringkas.
Untuk pengetahuan umum, Kaka bakal mengeluarkan album dengan empat buah lagu baru termasuklah ‘Bukan Hal Aku’ dan baki tiga buah lagu terdahulu iaitu ‘Bawaku Pergi’, ‘Infiniti Cinta’ dan ‘Terpulanglah’.
Selain melibatkan diri dalam bidang nyanyian, Kaka turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Beliau kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri, ‘Dunia Generasi Baru’ dan telah melibatkan diri dalam filem ‘7 Dimensi Aliff’. Wajah Kaka juga boleh dilihat di kaca TV menerusi iklan komersial InnerShine untuk kempen InnerShine Pati Prun (12 Days Challenge).
Lagu ‘Bukan Hal Aku’ ini merupakan terbitan Uprising Entertainment dan Warner Music (M) Sdn Bhd manakala edaran daripada Warner Music (M) Sdn Bhd sendiri.