Sejak semalam kecoh kononnya penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza bakal mengambil dua beradik yatim piatu, Nur Firuza Amira berusia 7 tahun dan Nur Firuza Aqila, 4 tahun, sebagai anak angkat. Spekulasi tersebut timbul ekoran sebuah video temubual bersama adik Firuza Amira yang menjadi viral.
Video berdurasi 6 saat itu menunjukkan Firuza Amira menyatakan hasrat teringin bertemu dengan penyanyi nombor satu negara itu.
Sementelah dakwaan Siti akan mereka dua beradik sebagai anak angkat tersebar apabila beberapa blog membangkitkan isu tersebut.
Bagaimanapun beberapa jam lalu, pengurus peribadi (PA) Siti Nurhaliza iaitu Rozi memohon agar spekulasi tersebut tidak terus disensasikan.
Menerusi laman Instagramnya, Rozi menyatakan bahawa sejak berita tersebut tersebar pihak Siti dihujani pelbagai pertanyaan sedangkan berita tersebut belum sahih.
“Dato’ Siti sendiri ada Instagram beliau sendiri, jika ada yang henak dikhabarkan tentulah ada sahihnya daripada pihak beliau,” tulis Rozi.
Penyanyi lagu Jaga Dia Untukku itu juga ada memuat naik semula (re-post) kenyataan tersebut dengan turut menyatakan,
“Inshaa-Allah, niat saya ingin bertemu kedua anak ini..selebihnya kita serah pada Allah yang Maha Bijaksana & Maha Mengetahui,” tulisnya di laman Instagram beliau @ctdk.
Status tersebut mendapat reaksi dan komen pelbagai pihak. Ada yang berpendapat, Siti selaku penghibur berpengalaman dan pernah dilanda bermacam gosip sebelum ini sudah tentu dapat menangani perkara ini dengan baik.
Ada juga yang merasakan, Siti lebih perlu memberikan perhatian kepada anak-anak buahnya lebih daripada adik Amira dan Aqila kerana meskipun dua beradik tersebut kini telah kehilangan kasih sayang ibu dan ayah mereka tetapi mereka telah mendapat kasih sayang daripada berjuta rakyat Malaysia.
Dalam kejadian pada 2 Mei lalu, tiga sekeluarga maut termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan dalam satu nahas membabitkan tiga buah kenderaan.
Mangsa merupakan ibu bapa kepada Amira dan Aqila, dikenali Fairuz Nizam Husain, 35, yang maut di tempat kejadian. Sementara Nova Safitri Azhari, 27, serta anak ketiganya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Nahas berlaku kira-kira jam 1.05 pagi di kilometer 6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala ke Jalan Duta itu menjadi bualan hangat masyarakat.
Malah, kejadian itu menimbulkan kemarahan ramai ekoran kejadian tersebut didakwa berpunca gara-gara perlumbaan kereta secara haram enam ahli Familia Myvi Club.
– Malaysian Digest