Nekad berani dan positif berdepan cabaran hidup, penyanyi Kaer Azami mengaktifkan semula akaun Instagram (IG) atas nama baharu, ‘mynameiskaer’. Memadam akaun lama termasuk koleksi foto yang tersimpan selama ini, Kaer tampil dengan semangat baharu selepas menilai kembali apa yang dilalui, sejak tahun lalu.
“Saya fikir ini umpama membawa hala tuju baharu dalam hidup dan apa yang saya mahu… Mungkin boleh dikatakan penjenamaan semula. Saya kembali dengan semangat baharu.
“Apa yang berlaku sebelum ini, sebagai manusia biasa, saya jadi luluh dan lemah.
“Insya-Allah, kali ini, saya mahu jadi lebih berani,”
– Kaer
Sejak aktif semula tahun lalu, satu persatu kontroversi melingkari Kaer terutama selepas beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, bulan lalu, mendendangkan lagu duet bersama Amylea Azizan, Tak Pernah Hilang.
Kaer dikecam sebagai punca lagu ‘berhantu’ itu gagal, malah dipersenda dengan imej botak ketika beraksi di pentas berprestij itu.
Tidak cukup itu, Kaer yang sebelum ini dituduh merajuk dengan dunia seni lalu membawa diri ke Indonesia, dikritik lagi apabila menolak projek merakamkan single Tetap Kamu, iaitu kesinambungan daripada lagu Tak Pernah Hilang.
Ketika itu, Kaer dan Amylea didakwa bersengketa, namun dinafikan kedua-dua pihak.
Kaer berkata, dalam berkarya, dia mahu terus kekal dengan irama R&B.
“Saya mahu memotivasikan diri… Ketika saya ‘hilang’ daripada media sosial, saya temui jati diri di sebalik semua kegelisahan.
“Akhirnya, saya temui kekuatan serta kelemahan diri. Mungkin lagu baharu saya akan merumuskan apa yang saya rasa,†katanya.
Kaer berkata, dia mahu menonjolkan dirinya yang sebenar.
“Saya mahu tunjukkan ‘kenakalan’ diri… Atau lebih tepat, jiwa sebenar saya. Selain itu, saya mahu uji diri menghasilkan lagu yang boleh didengari di negara lain.
“Ketika ini, saya tak mahu mengharapkan populariti. Saya mahu jadi diri sendiri dan telus dengan perjuangan muzik ini.
“Ini bukan soal wang atau kemasyhuran… Saya mahu jadi ‘asli’. Siapa tahu rezeki saya akan lebih luas selepas ini,”
– Kaer
Semoga Kaer terus berkarya dan teruskan perjuangan.
Sumber: Berita Harian