Kael atau nama sebenarnya Michael Chien Er, telah lahir dari sebuah program realiti terbitan TV3 iaitu Lagu Cinta Kita Musim 2 (LCK2). Hasrat Kael adalah untuk menjadi penghibur serba boleh! Kael ingin mempelbagaikan kreativiti dan bakatnya sebagai penyanyi, pelakon dan juga penghibur!
Terbaharu, Kael telah melancarkan lagu terbaharunya iaitu Teduhan Kasih. Lagu ini amat bermakna buat Kael kerana bukan senang untuk Kael, seorang penyanyi berketurunan Cina, Peranakan dan Siam membawakan lagu-lagu Melayu.
Teduhan kasih merupakan hasil ciptaan Aris Kapilla, manakala liriknya oleh Man Khan. Lagu ini mengisahkan tentang keperitan hidup yang akhirnya pasti akan bersinar jua akhirnya. Idea lagu ini tercipta apabila Kael dikelilingi bermacam-macam ragam manusia termasuklah yang mengalami keperitan dan kesusahan hidup sehingga mereka dihadiri oleh insan yang prihatin untuk membantu.
Lagu ini memberi makna yang sangat besar buat Kael kerana ia berkait dengan kisah perjalanan hidupnya yang penuh dengan keperitan sejak kecil. Kael membesar sebagai anak terbiar di sebuah rumah anak yatim. Ibunya mengalami masalah mental sehingga menyebabkan keluarganya berpecah. Bapa dan ibu tirinya telah membawa Kael ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Menurut Kael, “Saya ditinggalkan selama setahun di motel. Pekerja motel sering memberi perhatian dan memberikan makanan kepada saya sehinggalah mereka perlu mengosongkan bilik itu untuk disewakan kepada orang lain. Saya sering berkeliaran di kaki lima sekitar Kuala Lumpur dan pernah tidur di perhentian bas seorang diri selama hampir dua minggu.”
Kael sering berkeliaran di kaki lima Kuala Lumpur. Kebaikan orang yang tidak dikenali akhirnya membawa sinar harapan kepada Kael. Kemudian Kael dihantar ke rumah anak yatim di Yayasan Sunbeams Home di Ampang, dimana dia dibesarkan dari usia 9 hingga 17 tahun. Rumah anak yatim itu memberi peluang yang berharga buat masa depannya dengan menawarkan Kael ke sekolah muzik. Setelah menamatkan pelajaran sehingga Gred 6, Kael berjaya melanjutkan pelajaran beliau sehingga ke peringkat pengajian tinggi di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) sambil melakukan kerja sambilan demi membayar yuran pelajaran sehingga tamat pengajian diplomanya sekitar tahun 2008.
Kini terbukti perit getir hidup yang dilaluinya Kael berjaya mengeluarkan beberapa single bahasa Melayu, termasuk Original Sound Tracks (OST) untuk drama dan filem. Antaranya lagu Cinta Jatuh (OST drama Mr Bibik) dan Sentuhan (OST drama Sentuhan Najwa). Lagu terbaru Kael , Teduhan Kasih yang akan keluar pada 1 December 2023 ini sangat mempunyai maksud yang mendalam iaitu secara tidak langsung ia nya berkisah tentang perjalanan perit hidup Kael.
Kael juga berusaha untuk mempelbagaikan kreativitinya untuk terus kekal dalam dalam bidang seni. Kael bertuah kerana mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan diberi peluang memegang watak antagonis dalam drama ‘Suamiku Lelaki Pendosa’ dan ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ yang berjaya mendapat tontonan tinggi di kalangan peminat drama drama TV3. Kael juga berjaya menjadi hero filem berjudul Marrak, yang telah ditayangkan di pawagam bulan lalu.
Khusus buat peminat setia Kael, jangan lupa untuk muat turun lagu-lagu KAEL di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer. Untuk mendapatkan maklumat terkini, sila layari platform media sosial KAEL menerusi: Instagram: @itsmekaelhere,Tiktok: @eatyourkaelsalad , Facebook: @KAEL