Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke mengumumkan yang perkhidmatan pengangkutan awam akan menyokong sistem pembayaran terbuka (STP). Yang mana, sistem pembayaran terbuka ini telahpun digunakan di lebuh raya.
Sistem pembayaran terbuka ini membolehkan pengguna membayar perkhidmatan awam dengan menggunakan kad debit atau kredit. Sekaligus, memberikan pengguna lebih banyak alternatif pembayaran selain ditawarkan pada ketika ini melalui kad Touch ‘n Go.
Berikutan dari itu, Prasarana dijangka akan memulakan projek pembayaran sistem terbuka ini bermula Mac 2024. Pemasangan infrastruktur ini dijangka akan mengambil masa sekitar 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk memasang 50% sistem ini di setiap stesen.
Kerajaan menyasarkan sistem pembayaran terbuka ini akan tersedia secara menyeluruh di semua stesen menjelang Ogos 2025. Lokasi yang dijangka akan menyokong sistem ini adalah Monorail, LRT Kelana Jaya, LRT Ampang, MRT Putrajaya dan MRT Kajang.
Selain itu, kerajaan turut mempertimbangkan beberapa alternatif pembayaran lain seperti pembayaran melalui imbasan kod QR dan sebagainya.