in

Julfekar Dakwa Farawahida Berbohong

Julfekar dakwa penyanyi berbohong

KEMELUT membabitkan komposer terkenal, Julfekar Ahmad, 45, dengan penyanyi popular yang juga anak didiknya, Farawahida Razali, 24, masih belum menemui noktah perdamaian, sebaliknya semakin tenat! Pertikaian isu kontrak, soal hati, dakwaan didera, maki hamun, lari dari rumah, laporan polis berkaitan ugutan bunuh dan penyebaran gambar serta video lucah akhirnya mengheret ‘soal dalam kain’ kedua-dua selebriti ini sehingga pembabitan pihak polis.

Terbaru, Julfekar memberitahu dia sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis yang menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan yang dilemparkan kepadanya. Telefon bimbit dan komputer riba miliknya kini diserahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan. Pertemuan bersama Julfekar Selasa lalu diselubungi suasana pilu apabila dia tidak mampu menahan air mata mengenangkan anak-anaknya yang turut berasa kecewa.

farawahida

“Kalau ikutkan hati, saya sudah malas nak bercerita mengenai permasalahan kami (Julfekar dan Farawahida). Masalah ini sebenarnya perkara terlalu kecil. Sekiranya ada pihak yang datang berbincang atau prihatin dengan perkara ini, masalah tak timbul. Perkara yang kecil sudah menjadi besar sehingga boleh menjatuhkan maruah masing-masing dan membocorkan rahsia semua pihak.

Kenapa kita tidak menggunakan cara Islam, sebagai orang Islam kita dinasihatkan supaya berfikir, cuba toleransi dan bersabar. Orang Melayu beradab, orang berbudi, kita berbahasa. Jika timbul masalah, datanglah berbincang, apa yang tak suka, kenapa tak suka dan kita sama-sama cari jalan untuk diperbaiki. Tapi, apabila sudah sampai peringkat tidak ada ruang untuk berbincang, tak mahu berhubung selama empat bulan, macam-macam boleh terjadi!

Kami tidak ada ruang berinteraksi. Akhirnya timbul masalah seperti hari ini. Farawahida tidak faham mengenai kontrak. Dia masih lagi mengatakan bahawa kontrak pilihan selama setahun itu harus dipersetujui bersama, sedangkan sudah jelas dalam kontrak berkenaan, kontrak pilihan selama setahun itu menjadi hak automatik syarikat, tanpa surat, tanpa pemberitahuan dan tanpa kebenaran.

Kini, dia mahu mengalihkan perhatian isu sebenar dengan melemparkan pelbagai dakwaan peribadi. Segala dakwaannya, saya tidak mahu menjawab kerana sudah menjadi perhatian pihak polis. Polis juga sudah memanggil saya pada 6 Julai lalu dan saya memberikan sepenuh kerjasama dalam pertemuan yang memakan masa hampir lapan jam. Polis menjalankan tugas mengikut prosedur biasa.

Maklumat saya sudah direkodkan, selain telefon bimbit dan komputer riba saya diambil polis sebagai bahan bukti. Saya serahkan kepada polis menjalankan siasatan mereka.

Apabila berlaku perkara seumpama ini, saya tahu dia (Farawahida) sudah mengkhianati, menzalimi, menganiaya, menjatuhkan maruah dan mengaibkan saya. Lazimnya kita akan berasa marah, tapi bagi saya tidak mengapalah kerana ini mungkin satu ujian bagi saya untuk mengawal perasaan. Walaupun pada hakikatnya saya sudah diaibkan dan difitnah, saya akan menyelesaikan perkara (peribadi) ini kemudian.

Persoalan pokok ialah kontrak dan ganti rugi syarikat. Peguam akan menyerahkan surat saman kepada Farawahida pada bila-bila masa. Isu yang lain tu, saya tunggu dan lihat seperti yang disarankan peguam. Sekarang sudah timbul dua perkara, kes sivil dan dan jenayah. Selesaikan kes sivil dulu. Biarlah polis selesaikan kes jenayah. Justeru, buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang laporan polis berhubung dakwaan Farawahida, saya akan berbincang dengan peguam dulu.?

Anak-anak tersinggung

“Selepas pihak polis selesai merakam kenyataan saya, mereka akan memaklumkan ada kes atau sebaliknya. Saya hanya berserah. Bagi saya, segala dakwaan Farawahida terhadap saya menerusi media massa selama ini, adalah tidak betul! Dia tidak bercakap benar! Perkara ini subjektif untuk dibuktikan kebenarannya. Farawahida sudah menganiaya saya.

Apabila saya dipanggil pihak berkuasa untuk diambil keterangan, saya balik ke rumah diikuti pihak berkuasa dan apabila saya kembali ke rumah, anak-anak saya menangis. Mereka menangis kerana mereka tahu sejauh mana hubungan saya dengan Farawahida. Mereka juga tidak pernah mengganggu saya dalam perhubungan itu. Anak-anak juga ada bukti yang mereka peroleh (hubungan dengan Farawahida).

Sejurus saya diaibkan, dipanggil pihak polis, anak-anak begitu tersinggung. Mereka juga sudah menerima kenyataan, saya sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan ibu mereka. Saya dan isteri sudah berpisah. Anak-anak bertanya, kenapa ayah mereka dianiaya? Anak-anak membaca surah Yassin. Saya cukup tersentuh apabila semua anak memeluk saya (mula menitiskan air mata). Saya tahu mereka terlalu menyayangi saya (menangis).

Mereka tak sanggup melihat ayah mereka yang sudah banyak berkorban, diperlakukan seperti ini, dimalukan dan diaibkan. Saya sebak melihat pengorbanan anak-anak. Seperti saya katakan tadi, anak-anak tahu hubungan saya dan Farawahida, tapi dia tak akan mengaku seperti kenyataannya menerusi media massa sebelum ini.

Mungkin dia malu mengakui ada bekas kekasih sebelum ini, mungkin dia mahu dikenali sebagai seseorang yang bersih, suci. Ketika ini biarlah peguam dan pihak polis menjalankan tanggung jawab mereka. Kalau boleh, selepas ini saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan akhbar berhubung isu berkenaan.

‘Eloklah dia henti balas kenyataan’

Bagus jugalah sekiranya pihak Farawahida berhenti daripada membuat kenyataan balas kerana ia boleh mengganggu siasatan dan prosiding pihak berkuasa. Isu peribadi ini sudah terlalu jauh menyimpang daripada soal pokok. Sebenarnya masih ada jalan penyelesaian yang baik, namun semuanya terletak di tangan Farawahida. Saya tetap meneruskan saman terhadapnya mengikut prosedur biasa.

Pihak Farawahida juga boleh berbuat sesuatu supaya keadaan ini tidak menjadi terlalu keruh. Saya sudah melepaskan hati terhadapnya, begitu juga dengan syarikat, tapi dia perlu membayar ganti rugi seperti termaktub di dalam kontrak. Cerita sudah bersimpang siur dan apabila perkara ini terjadi, kita mungkin bercerita perkara yang benar dan sebaliknya. Lebih baik kita berhenti mengaibkan orang.

Namun, dalam perkara ini saya tidak mengaibkan Farawahida. Bukan saya yang membuka cerita, saya hanya menjawab segala dakwaannya. Selama ini saya tidak pernah memberi sebarang kenyataan yang memalukannya, mengaibkan dirinya dan menjatuhkan maruahnya. Walaupun ada ketikanya kami bertengkar, namun belum pernah sampai ke pengetahuan masyarakat umum. Mengasarinya juga tak pernah.

Tak perlulah kita membuka pekung di dada kerana yang malu keluarga. Kenyataan Farawahida di media massa, kebanyakannya tidak benar. Saya tak boleh cakap dia menipu kerana ada juga kenyataannya yang betul, namun dikurangkan atau dilebihkan. Selagi belum selesai kes mahkamah, Farawahida masih artis Millennium Art Sdn Bhd, itu yang pasti. Segala urusan kerjaya atau show, harus menerusi syarikat saya.” [sumber]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ujibakat My Starz LG Musim 3 Kembali

Video Klip Lagu Pengharapan Ini – Azyza