in ,

Jue Aziz dalam Drama Bersiri Serpihan Hati

Kemunculan semula pelakon Jue Aziz menjiwai watak utama sebagai Elisa antara tarikan drama bersiri terbaharu disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Serpihan Hati” menemui penonton mulai 11 Jun lalu, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 11.30 pagi mengisi slot Bidadari di TV1.

Turut menampilkan kemunculan pelakon Ako Mustafa, Haleeda, Zarina Zainuddin dan Roy Azman, drama bersiri 13 episod ini mengetengahkan jalan cerita pertembungan nasib dua adik beradik kandung yang dibesarkan dengan keluarga yang berbeza. Si kakak dijadikan anak angkat keluarga miskin membesar dengan kehidupan sederhana dan bijak dalam pelajaran manakala si adik pula dibesarkan ibu bapa kandung mereka terlebih dimanjakan dan menjadi pemuda yang nakal juga sukar dikawal.

jue-aziz

Kisahnya bermula ketika Sharina mengandung 3 bulan, dia ditinggalkan oleh suaminya, Mahdi. Apabila bayi itu lahir, Sharina menderita akibat penyakit meroyan. Bayi yang dilahirkan itu, Elisa terbiar dan kemudian diambil oleh Mak Hajar sebagai anak angkatnya dan mereka berpindah ke kampung halamannya. Elisa dijaga oleh Mak Hajar dengan penuh kasih sayang. Namun Mak Hajar merahsiakan identiti Elisa sendiri.

Mahdi yang menghilangkan dirinya kembali muncul. Mahdi mengambil kembali Sharina sebagai isterinya. Sharina merahsiakan dari pengetahuan Mahdi yang dia pernah melahirkan seorang anak hasil dari pernikahan awal mereka.

Mahdi dan Sharina kemudiannya dikurniakan seorang anak lelaki bernama, Fairuz. Mahdi semakin sukses dalam bidang pembinaan. Kehidupan mereka sekeluarga agak mewah. Manakala, Mak Hajar dan Elisa hidup dalam serba kekurangan. Mak Hajar membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual bagi menampung kehidupan mereka.

Semasa di tingkatan 6 Elisa bertemu dengan guru duda yang baru berpindah ke sekolahnya. Shariz jauh lebih tua dari Elisa. Elisa banyak mendapat bantuan dari Shariz dalam pelajarannya. Dalam diam Shariz menyimpan perasaan cinta pada Elisa. Malangnya Elisa menolak cinta Shariz. Shariz berasa malu lalu meninggalkan kampung itu untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah Sarjana.

Elisa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM dan berjaya menjejak kaki ke menara gading. Wajahnya yang cantik membuatkan dia diminati oleh pelajar lelaki di kampus. Elisa menjalinkan hubungan persahabatan dengan Ikram. Ikram cuba mengambil kesempatan kerana menyangka Elisa adalah gadis murahan seperti yang ditemuinya sebelum ini. Dalam kejadian itu, Mahdi telah terserempak dengan Elisa dan membantu Elisa tanpa mengetahui mereka berdua ada pertalian darah.

Elisa memutuskan hubungannya dengan Ikram. Alasan yang diberikan cuma satu – Ikram tidak layak dijadikan pasangan kekasih. Ikram tersedar setelah hubungan itu diputuskan oleh Elisa.

Sementara itu, Sharina dan Mahdi memanjakan Fairuz melampaui batas. Fairuz telah gagal dalam pelajarannya. Kemudian Fairuz bekerja di syarikat pembinaan Mahdi.

Dalam waktu yang sama, Sharina mula dihantui oleh kenangan silamnya semasa dia membuang bayinya itu. Namun dia masih merahsiakan apa yang dilaluinya dari pengetahuan Mahdi.

Semasa berada di dalam kelas tutorial, Elisa bertemu semula dengan Shariz yang menjadi tutor di Universiti tempat Elisa belajar. Hubungan mereka kembali terjalin sebagai seorang kawan. Semasa Elisa masih belajar di universiti, Mak Hajar telah diserang darah tinggi dan lemah jantung. Elisa terpaksa menjaja barang-barang dari kedai ke kedai untuk membantu Mak Hajar.

Pada suatu hari, wang hasil jualan Elisa telah diragut. Sekali lagi Mahdi membantu Elisa. Lalu apakah yang berlaku seterusnya? Dapatkah Elisa mengembalikan semula ikatan hubungan kekeluargaan mereka? Siapa pula pemuda yang layak menerima cintanya?

PELAKON UTAMA DRAMA INI

JUE AZIZ SEBAGAI ELISA

ROY AZMAN DAN HALEEDA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Acong Sweet Child Kini Penyampai Radio Pi Mai FM

Zery Zamry Lancar Koleksi Busana Raya 2014