Pada Jumaat, 24 September 2021, Usahawan Buletin FM telah menemui Juara untuk pusingan pertama. Pusingan pertama Usahawan Buletin FM menyaksikan Puan Nur Sabrina Binti Anuar dari Sentul Kuala Lumpur dengan idea perniagaan Sataysfaction; gerai sate daging batang pinang telah diangkat sebagai juara yang membawa pulang RM25,000 dan slot iklan di Buletin FM bernilai RM175,000.
Puan Nur Sabrina Anuar telah melalui beberapa cabaran sepanjang menyertai Usahawan Buletin FM dan mendapat markah keseluruhan sebanyak 315.5 markah yang dinilai oleh juri harian yang juga merupakan juri tetap, Encik Wan Arjunawan Wan Halim, Perunding Perniagaan serta Francais & Ketua Pegawai Eksekutif Entrepreneur Culture Incorporated.
Seramai 4 orang peserta telah terpilih untuk melalui 4 cabaran berbeza antaranya mereka perlu menjual produk di hadapan juri tetap melalui platform digital. Selain itu, mereka juga perlu menghadapi cabaran bagaimana untuk menguruskan pelanggan dimana setiap peserta diberikan situasi bersama pelanggan. Cabaran yang ketiga adalah peserta perlu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam perniagaan mereka dan yang terakhir adalah mereka perlu menghasilkan iklan radio mereka sendiri.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, “Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Nur Sabrina Anuar kerana telah berjaya menjadi juara Usahawan Buletin FM bagi pusingan pertama. Beliau telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan berjaya menarik perhatian juri profesional dan seterusnya bergelar juara. Kami di Media Prima Audio mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen sebegini adalah bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang ingin memulakan bisnes baharu atau mengembangkan bisnes lama atau sederhana mereka melalui pembiayaan dana perniagaan. Menerusi kempen ini juga, diharap dapat membantu mereka yang terkesan disebabkan penularan Covid-19 serta mampu menangani masalah berkaitan perniagaan mereka. Orang ramai masih boleh menghantar penyertaan idea bisnes mereka dan berpeluang menjadi seperti Puan Nur Sabrina.”
Orang ramai masih lagi boleh menghantar idea bisnes mereka menerusi website www.buletinfm.audio dan cari pautan Usahawan Buletin FM. Untuk pusingan kedua ini penyertaan boleh dihantar sebelum 11.59 malam, 3 Oktober 2021.
Setiap pagi, Ally Iskandar dan Hawa Rizwana akan menghubungi pendengar yang telah menghantarkan idea perniagaan mereka menerusi segmen Fokus Pagi Bersama Ally Iskandar & Hawa Rizwana (6 pagi – 10 pagi). Mereka bersama-sama juri profesional akan menilai idea-idea perniagaan yang telah dihantarkan.
Buletin FM boleh didengari menerusi frekuensi 101.3FM di Lembah Klang; 90.2FM Penang; 93.6FM Kuala Terengganu; 88.6FM Kota Bharu; 107.3FM Alor Setar; 104.3FM Sarawak.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar Buletin FM secara live streaming di www.buletinfm.audio dan YouTube Buletin TV. Untuk perkembangan dan pengisian digital berinfomatif, boleh terus ikuti laman sosial Buletin FM di Facebook Buletin FM, Instagram @buletinfm dan Twitter @buletinfm dan Whatsapp di 017-276 5656. Buletin FM juga boleh didengari menerusi aplikasi Audio+, yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
MEDIA PRIMA AUDIO
Media Prima Audio menyasarkan untuk menjadi Penyiar Audio No. 1 di Malaysia menerusi ketiga-tiga vernakular (BM, Inggeris dan Cina) dengan menghasilkan kandungan yang terbaik yang sesuai dengan pendengaran rakyat Malaysia. Syarikat juga mendapat panduan daripada penyelidikan dan analisis berkala terhadap pasaran dan kumpulan sasaran kami, yang membolehkan kami untuk memahami kehendak pendengar dan pengiklan serta mengetahui bagaimana untuk melibatkan diri dalam memberikan informasi serta hiburan. Oleh itu, Media Prima Audio mewakili keempat-empat jenama radio dibawahnya – Hot FM, Buletin FM, Fly FM dan 8FM. Audio+ juga merupakan sebahagian daripada syarikat mewakili inisiatif pendengaran digital, di mana aplikasi sehenti ini menyokong keempat-empat stesen radio serta audio siar (podcast) dan kandungan menarik yang lain.
BULETIN FM
Buletin FM membawakan kepada anda berita terkini dan analisis untuk memberikan penjelasan yang tepat dalam berkongsi maklumat, sekali gus memberi perkongsian cerita-cerita positif dan akan memainkan muzik yang dikenali ramai sepanjang hari sejajar dengan slogan barunya, Info Terkini dan Muzik Sepanjang Zaman. Menyasarkan pendengar yang luas berusia 30 hingga 39 tahun sebagai pendengar sasaran, Buletin FM pastinya akan menjadi sebuah jenama yang dikenali oleh pendengarnya sebagai sebuah stesen yang memberikan informasi yang terkini, boleh dipercayai, relevan, nyata dan positif.