Penularan pandemik Covid-19 semenangnya membimbangkan seluruh dunia. Antaranya, Malaysia akur dengan keputusan kerajaan Arab Saudi untuk tidak menghantar jemaah haji bagi Musim Haji 1442H. Sudah pasti bakal jemaah haji mempunyai banyak persoalan untuk mendapatkan pencerahan. Tatkala banyak aktiviti dan urusan negara terpaksa dihentikan, pihak berkuasa komited dalam melaksanakan tugas untuk menangani isu pendatang tanpa izin di tanah air kita.
9:00 MALAM : EKSKLUSIF TV3 – LAMBAIAN TIDAK KESAMPAIAN (siaran langsung)
Eksklusif TV3: Lambaian Tidak Kesampaian akan bersiaran secara langsung dari Studio A, Sri Pentas dari pukul 9.00 malam hingga 10.00 malam untuk menyelami perasaan bakal jemaah haji yang terpaksa ditangguhkan sejak tahun lalu atas arahan kerajaan Arab Saudi ekoran pandemik Covid-19 yang masih menular.
Bersama dengan perantara Mior Abdul Malek Raiyani, ikuti temubual eksklusif Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman bagi memperincikan perancangan seterusnya selepas ini terutama yang melibatkan bakal jemaah yang terkesan. Bagaimana dengan penggiliran haji selepas ini? Apa perancangan Tabung Haji buat bakal jemaah sekiranya ibadah haji dibenarkan pada tahun hadapan? Pelbagai persoalan akan dijawab secara langsung dalam Eksklusif TV3: Lambaian Tidak Kesampaian. Tidak ketinggalan juga paparan perkembangan semasa di tanah suci.
10:00 MALAM : 999 – LUBUK PENDATANG TANPA IZIN CYBERJAYA
Laporan Khas 999: Lubuk Pendatang Tanpa Izin Cyberjaya menyusul pada pukul 10.00 malam, bermula serbuan pendatang tanpa izin oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Sebuah lokasi rahsia di Cyberjaya menjadi penempatan haram warga asing sejak 5 tahun lalu. Seramai 146 warga asing ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen perjalanan sah. Ketika serbuan dijalankan, rumah kongsi itu berada dalam keadaan kotor dan tiada sistem kumbahan dan perparitan yang sempurna. Bekalan elektrik dan air disambung secara haram. Malah turut tersedia meja khas untuk tujuan perjudian. Ikuti serbuan Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini di Cyberjaya.
Menerusi segmen viral pula menceritakan tentang pengasas kosmetik bertindak keterlaluan di media sosial. Baru baru ini tular di media sosial rakaman memaparkan pengasas produk kosmetik, yang didakwa membuat paparan secara langsung di media sosial yang mengandungi komunikasi lucah dan seks luar tabii dengan dua kanak-kanak bawah umur. Malah, pelaku turut mempertontonkan cara menghisap rokok elektronik kepada remaja terbabit ketika sesi ‘live’ yang mencecah hampir 4000 tontonan.
Kelakuan itu dipercayai mampu mengakibatkan kesan buruk pada kanak kanak yang menonton. Isu ini turut menimbulkan persoalan sejauh mana ibu bapa perlu memantau aktiviti anak anak di media sosial agar perkara seperti ini dapat dielakkan? 999 mendapatkan pandangan Pakar Psikologi Dr Shazli Ezzat Ghazali berkenaan isu ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, suspek bersama rakannya telah direman 3 hari untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia