Menurut Sufi, penganjuran konsert yang akan diadakan pada 9 dan 16 Disember ini di Singapore EXPO itu telah direncanakan bersama sebuah unit komiti yang menyaksikan pemilihan barisan artis juga diundi oleh orang awam.
Berkongsi lanjut mengenai konsert, kata Sufi, Konsert Galau akan menyatukan barisan 10 artis ternama dari tiga buah negara serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Antara artis yang terlibat dari Indonesia ialah Judika, kumpulan Noah, Setia Band, ST12, Cakra Khan, D’Masiv dan Kangen Band.
Manakala artis dari Malaysia pula adalah kumpulan Insomniacks dengan Sufi Rashid dan Taufik Batisah pula mewakili Singapura.
Bagaimanapun, kata Sufi, kehadiran kumpulan Noah untuk Konsert Galau kali ini khusus sebagai tribute kepada kumpulan Peterpan.
Ini bermakna, vokalis Noah, Ariel bakal membawakan lagu-lagu hits daripada kumpulan Peterpan istimewa bagi menghiburkan peminat yang akan hadir ke konsert berkenaan.
Selain itu, jelas Sufi, penganjuran konsert dengan konsep dua malam merupakan yang pertama kali dilakukan di negara tersebut dan ia merupakan antara keunikan yang ingin ditampilkan oleh SAH Entertainment buat warga Singapura termasuk negara serantau.
Menyasarkan kehadiran seramai 12,000 penonton untuk dua malam penganjuran konsert tersebut, Sufi turut berharap orang ramai terutama peminat lagu-lagu galau sama ada dari Malaysia, Indonesia, Brunei atau di mana-mana sahaja dapat memberi sokongan untuk hadir ke konsert ini.
Meletakkan sasaran seramai 10,000 penonton untuk satu malam, Sufi berkata, penonton dan peminat yang hadir juga berpeluang memilih lokasi ruang mengikut tiga kategori yang disediakan.
Ia termasuk Zon Galau untuk pengalaman ‘Galau’ yang eksklusif, Zon Berdiri dan juga Zon Duduk.
Tiket dijual pada harga yang mampu milik dari $88 hingga $168. Tiket juga ditawarkan dengan diskaun 10% jika pembelian adalah untuk dua malam.
Pembelian tiket boleh dilakukan melalui www.sistic.com.sg.