ASAS JATIDIRI KELUARGA MUSLIM
Astro Oasis teroka dimensi baru dakwah televisyen
Berkongsi kebimbangan terhadap masalah sosial yang sering melanda institusi kekeluargaan Islam dewasa ini, Astro sentiasa berusaha menawarkan program-program berunsur kerohanian sebagai asas membina kekuatan dan jatidiri keluarga Muslim. Sehubungan dengan itu, Astro dengan berbesar hati memperkenalkan sebuah program kuiz kekeluargaan islam berjudul Famili Sarjana yang akan mengadakan sesi uji bakat tidak lama lagi.
Program Famili Sarjana merupakan sebuah rancangan kuiz yang menyaksikan dua buah keluarga akan bersaing setiap minggu untuk menjawab soalan-soalan keagamaan meliputi lima perkara yang terkandung dalam Rukun Islam iaitu syahadah, solat, puasa, haji dan zakat. Sebuah keluarga akan dinobatkan sebagai juara di peringkat akhir dan sebagai pendorong, hadiah utama berbentuk pakej umrah ke Tanah Suci disediakan untuk seisi keluarga.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Hj Izelan Basar berkata, “Astro sentiasa akur dengan permintaan para pelanggan yang mahukan pengisian rohani di televisyen.
Perkembangan positif masyarakat terhadap penerimaan program-program berbentuk keislaman di televisyen menunjukkan mereka dahagakan ilmu pengetahuan untuk dijadikan panduan dalam melalui kehidupan seharian yang semakin mencabar. Lebih membanggakan, permintaan untuk program-program keislaman semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Program Famili Sarjana merupakan merupakan sebuah rancangan kuiz kekeluargaan terbaru yang membawa pendekatan berlainan berbanding program-program kuiz sedia ada. Program ini membawa pendekatan perkongsian ilmu dalam keadaan santai dan hiburan ringan, tetapi mencabar peserta dengan pelbagai soalan yang berkaitan lima perkara utama yang terkandung dalam Rukun Islam. Secara tidak langsung, penonton di rumah turut memperoleh ilmu daripada soalan yang dilontarkan ,†jelas Hj Izelan lagi.
Hj Izelan Basar
Hj Izelan turut menambah, “Kejayaan program realiti terunggul Imam Muda dengan liputan meluas media tempatan dan antarabangsa telah meletakkan Astro Oasis pada kedudukan yang tersendiri. Maka, tanggungjawab kami juga semakin bertambah untuk memastikan setiap program yang ditawarkan oleh saluran ini berada atau lebih daripada paras itu. Walaubagaimanapun, tanggungjawab yang lebih utama adalah untuk mendidik keluarga dan masyarakat menerusi program-program yang berkualiti
Setiap keluarga akan bersaing dalam lapan saringan setiap minggu sebelum empat yang terbaik akan bersaing di peringkat separuh akhir. Dua buah keluarga terbaik akan berjaya berentap di peringkat akhir sebelum sebuah keluarga dinobatkan sebagai juara Famili Sarjana
Tambah Hj Izelan lagi, †Tajaan penuh pakej umrah yang ditawarkan kepada Juara Famili Sarjana hanyalah sebagai pendorong kepada setiap keluarga untuk bersungguh-sungguh di dalam program ini. Namun yang lebih penting, peserta dan penonton di rumah dapat berkongsi ilmu dan mendalami setiap perkara yang terkandung dalam Rukun Islam. Dengan mendalami ilmu dan mengamalkannya, kita mampu membentuk sebuah keluarga dan masyarakat yang bertamadun yang selari dengan syariat Islam.
Semua keluarga Islam yang berminat untuk menyertai program Famili Sarjana yang buat pertama kali diperkenalkan di Astro Oasis anda dijemput hadir ke sesi uji bakat di Astro, Bukit Jalil pada 2 dan 3 Oktober 2010.
Setiap keluarga perlu dianggotai lima (5) orang ahli keluarga seperti di bawah;
Peserta Kriteria
Dewasa Lelaki/Wanita Datuk atau Nenek
Dewasa Lelaki Bapa
Dewasa Wanita Ibu
Remaja 13 hingga 18 tahun
Kanak – Kanak 7 hingga 11 tahun
*Boleh juga menggunakan datuk saudara atau anak saudara, asalkan beragama Islam dan muhrim
Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta sekeping gambar keluarga berukuran 4R. Peserta yang hadir juga perlu memakai pakaian yang sopan sewaktu sesi uji bakat ini nanti.
Kaunter pendaftaran bagi sesi ujibakat akan dibuka dari jam 9.00 pagi dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan.
Program Famili Sarjana ini akan mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) pada 27 November 2010. Butiran lanjut mengenai program ini akan diumumkan kelak.