Penggemar haruman Dior Sauvage bakal disajikan dengan edisi baharu dan meraikan kemunculan ini Dior terus setia bersama Johnny Depp. Bintang Hollywood tersohor itu sudah dilantik sebagai wajah rasmi haruman Dior Sauvage bertahun-tahun lamanya. Sebagai ‘pembuka’ Johnny Depp ditemukan dengan pereka haruman terkenal itu, Francois Demachy dalam satu temubual santai yang cukup menarik.
Johnny Depp yang sangat sinonim dengan beberapa watak ikonik dengan gerak tubuh dan penampilan yang quirky seperti ‘Edward Scissorhands’ dan ‘The Pirates of Caribbean’ dan Francois Demachy berbicara dan bertukar pendapat tentang inspirasi ilham kreatif dalam satu set mirip program bual bicara lewat malam televisyen. Video ini turut diserikan dengan kemunculan Laurianne Melierre yang betrindak sebagai hos.
Sewaktu menonton petikan klip dari video yang dimuat naik Dior, saya dapat bayangkan satu temubual yang cukup menyeronokan. Mereka berdua ditemukan sempena pelancaran Dior Sauvage yang Bakal dilancarkan tidak lama lagi. Seperti yang kita maklum, Johnny Depp memang sinonim dengan haruman ini, walaupun dikaitkan dengan kontroversi rumahtangga, Dior terus setia memilihnya kerana dia cukup secocok untuk mewakili minyak wangi.
Di dalam temubual ini, Johnny Depp tampil mendakap erat gitar, dan acapkali dia memetik gitarnya dalam temubual tersebut. Mereka cuba mencari persamaan antara nota petrikan gitar dengan nota haruman, yang mana bisa disatukan atau punya ritma seiring. Perbualan mereka berdua seakannya banyak diselang seli dengan gelak tawa.
Saya tertarik dengan jawapan yang diberikan oleh Francois Demachy saat Johnny Depp bertanyakan apakah bahan rahsia dalam Dior Sauvage yang baharu ini. “Tiada bahan rahsia, yang rahsia adalah resipinya.”
“Kamu takkan sedar ada bau bergamot dan patchoulli dalam nota ini,” kata Francois Demachy lantas Johnny Depp memetik gitarnya dan berkata, “seperti bunyi petikan gitar ini, dua nota yang seakan berantakan.”