Watak utama John Dillinger yang dibawakan dengan baik oleh Johnny Depp menerusi filem “Public Enemies” bakal menghiburkan hujung minggu penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 22 November ini, pukul 12.00 malam di TV2.
Di tangan Depp, watak Dillinger hidup kembali dan memberi gambaran tentang perompak bank yang mengundang simpati. Babak yang paling mencuit hati dalam filem ini bila Dillinger berseloroh depan wartawan yang menemubualnya mengatakan dia hanya memerlukan 1 minit 40 saat untuk membuka pintu sebuah bank. Dillinger juga dapat keluar masuk balai polis tanpa dikenali.
Diangkat dari kisah benar, filem “Public Enemies” bercerita tentang watak utama John Dillinger (Johnny Depp) bersama kawannya yang telah banyak kali berjaya melakukan rompakan bank. Satu hari mereka berjaya ditangkap pihak berkuasa. Meskipun Dillinger ditangkap namun dia berhasil meloloskan diri dari penjara.
Sementara itu, Melvin Purvis (Christian Bale) yang ditugaskan untuk memburu Dillinger dan memberkasnya untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
Ketika itu segala percubaan, taktik dan cara dilakukan untuk menumpaskan Dillinger. Ia termasuklah memeriksa telefon di pangsapuri milik Dillinger hingga memaksa kekasih Dillinger, Billie Frechette (Marion Cotillard) untuk memberitahu di mana Dillinger berada menggunakan kekerasan.
Setelah semuanya gagal, rakan Purvis akhirnya menembak mati Dillinger di jalan tanpa memberi peringatan kerana risau Dillinger akan meloloskan diri lagi dari penjara.
Kongsikan babak-babak menarik penuh aksi dalam filem ini hanya di TV2.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.