Semalam, 5 Februari bertempat di Hotel Istana, 73 Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur telah berlangsung Sidang Media Pelancaran School of Lawak, sebuah program realiti komedi terbaru yang akan disiarkan di Astro Warna bermula 14 Februari ini. Tujuan program diadakan adalah untuk melahirkan pelapis yang mampu membuatkan penonton terhibur, malah jauh dari itu, seorang pelawak juga akan diajar cara menulis dan merangka struktur sesebuah komedi dengan lebih profesional oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada pelawak terkenal.
Budiey nak ucapkan tahniah kepada Johan Raja Lawak dan Jepp Sepahtu yang telah dilantik menjadi hos atau pengacara peperiksaan mingguan manakala Yus (SYJ) sebagai pengacara jurnal harian.
[pullquote align=”right”]Anda boleh menonton School of Lawak di Astro Warna (Saluran 132) dan Mustika HD (Saluran 134) jam 10 malam setiap Jumaat.[/pullquote]
Sidang media ini telah memperkenalkan gandingan pengacara, pengetua, barisan tenaga pengajar dan peserta program. Pengarah filem, Hafsham dilantik menjadi pengetua Skool of Lawak. Pelakon terkenal, Fauziah Nawi, pelawak Sabri Yunus dan komposer Khir Rahman dilantik sebagai tenaga pengajar.
Nama pun school, jadi program realiti baru ini mengambil tema Komedi Ada Kelas dan akan memaparkan pencarian pelawak baharu yang menerapkan elemen pembelajaran ala di sekolah. Teringat pula tentang program realiti Akademi Fantasia yang mengambil konsep pembelajaran yang sama. Berbeza dengan AF, pelajar akan diajar cara untuk buat lawak dan mengutamakan interaksi dengan pasangan masing-masing kerana keserasian amat penting untuk membentuk gandingan yang mantap
Program ini dilihat menjadi platform untuk melahirkan artis komedi serba boleh yang mempunyai kelas dan standard yang tinggi. Para peserta akan didedahkan dengan cara untuk menguasai pentas terutamanya menangani perasaan gugup ketika berhadapan dengan penonton.
Seramai 29 peserta lelaki dan empat wanita terpilih daripada sesi uji bakat yang diadakan di lima lokasi di seluruh negara. Mereka yang terpilih turut didedahkan dengan sketsa komedi, penulisan sketsa komedi, asas dan struktur komedi serta tip untuk melakukan sketsa menerusi bengkel Komedi Warna yang diadakan sebelum ini.
Sebagai cabaran, peserta akan diberikan tugasan tertentu secara individu mahupun berkumpulan selama 10 minggu berlandaskan format komedi yang ada kelas. Dari segi pemarkahan, peserta akan dinilai berdasarkan cara persembahan dan nilai komedi pada setiap minggu.
Program ini sangat berbeza dengan cara pemarkahan Raja Lawak iaitu melibatkan 100 peratus undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), program ini membabitkan 70 peratus markah juri dan 30 peratus lagi menerusi SMS.