“Kejadian tu berlaku sewaktu saya berada dalam tandas. Saya memang sangat-sangat gementar masa tu. Cuak bila muka Jay. Memang satu pengalaman baru yang saya boleh kata… wow! lah (terdiam sekejap kemudian gelak) ” kata Johan As’ari namun enggan meneruskan cerita mengenai pengalamannya hampir-hampir diliwat oleh pelakon Jay Iswazir.
Tapi jangan salah faham kerana insiden itu sebenarnya hanyalah salah satu babak yang dilakonkan mereka dalam drama bersiri terbaru Karlos. Tambah Johan, dia betul-betul takut sewaktu melakonkan babak itu apatahlagi melihat wajah Jay Iswazir yang benar-benar menjiwai wataknya ketika itu.
Bagaimanapun karakter itu dilihat sebagai satu cabaran malah mengakui tanggungjawab yang digalas dalam drama kali ini sangat berat.
“Masa dapat skrip sebenarnya babak tu adalah babak saya diliwat. Tapi setelah berbincang dengan pengarah dan penerbit, saya minta pengarah ubah sikit babak itu. Saya juga sepatutnya kena pakai boxer, tapi saya tak mahu kerana segan dan bagi saya tak sesuai untuk tontonan umum.
“Hasil perbincangan, babak itu daripada diliwat jadi hampir diliwat. Kalau hampir diliwat tu, bagi saya okay lagi lah”,
Johan As’ari dan pelakon drama Karlos ditemui di sidang media drama tersebut di Sri Pentas, semalam.
Bercerita lanjut, Johan memberitahu bagi menghidupkan dua watak iaitu Irwan dan Karlos, sedikit sebanyak dia melihat penghayatan lakonan daripada pelakon kanak-kanak, Fhazrill (sebagai Irwan sewaktu kecil). Tidak cukup dengan itu, karakter kali ini memerlukan melakukan babak berlawan.
“Watak ni memang berat. Ada babak saya merompak, membunuh dan bergaduh. Saya juga ada tengok lakonan Fhazrill kemudian sikit-sikit saya kaji dan cuba menyesuaikan dengan karakter saya. Selain tu, semua babak stunt saya lakukan sendiri. Macam semalam, ada babak bergaduh entah macam mana tangan saya tercucuk pisau. Mujurlah luka ni tak begitu teruk”, ujarnya sambil menunjukkan kesan luka tersebut.
Karlos menelusuri perjalanan hidup sorang remaja, Irwan Zaid (Johan) yang sering dipinggirkan di dalam keluarga terutamanya oleh bapanya sendiri Rashid (Namron) yang juga merupakan seorang kaki judi. Dia juga disisihkan ibunya, Zai (Sherlie Merlis).
Tanpa perhatian dan kasih sayang seperti adik beradik lain, Irwan cuba membina kehidupan di atas kakinya sendiri. Namun disebabkan beberapa kejadian, dia diheret ke Pusat Pemulihan Akhlak, Teluk Panglima. Di sana, dia mula berkawan baik dengan Kenji (Syazwan Zulkifly) dan orang kanan Kenji, iaitu Joey.
Kenji dan Joey dibebaskan sebulan lebih awal menyusul selepas itu Irwan. Oleh kerana tidak mempunyai pilihan lain, Irwan menumpang di rumah sewa Kenji. Irwan juga sudah mula selesa dengan panggilan ‘Karlos’. Dibawah bimbingan Kenji, Karlos belajar bagaimana hendak menyamun dan pecah rumah.
Inspektor Mahadir (Azhar Sulaiman) diberi kepercayaan untuk menyiasat kes jenayah yang semakin meruncing. Mampukah Mahadir memberkas penjenayah paling dikehendai negara? Apakah Irwan atau sisi gelapnya, Karlos menyedari akan setiap kesalahan yang dilakukan? Ditayangkan setiap Isnin, jam 9 malam di TV3, Karlos menemui penonton mulai 4 Mac ini. – Malaysian Digest