Impak drama berkenaan masih terasa apabila hingga kini masih ramai peminat memanggil Johan dengan gelaran Botak. Biarpun sudah sembilan tahun berlalu, Johan masih ditegur peminat dengan panggilan Botak ketika menjalani penggambaran drama Lelaki Itu Untukku 2 di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, ada juga yang mengenali dan memanggil nama sebenarnya.
“Saya akui, drama Juvana memberi impak besar terhadap kerjaya seni. Selepas Juvana, beberapa drama seperti mungkin Cinta Elysa dan Karlos masih dikenang peminat.
“Saya bertuah adanya sokongan pelakon hebat seperti Bront Palarae dan Beto Kusyairi. Disebabkan mereka, lakonan saya dan rakan-rakan lain mendapat perhatian penonton drama,”
– Johan As’ari
Dilihat jarang muncul di kaca televisyen (TV), pelakon berusia 34 tahun itu berkata, dia banyak terbabit dengan penggambaran filem sejak dua tahun lalu.
Demi menghayati watak Yassin untuk filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof, Johan berkata, dia dikehendaki menyimpan rambut panjang menyebabkan terbatas menerima tawaran berlakon drama.
“Penggambaran filem Mat Kilau selama 60 hari, kemudian berehat sekitar tujuh bulan sebelum menyambung kembali. Dalam tempoh berehat, saya tidak dibenarkan memotong rambut.
– Johan As’ari
“Jadi, sukar untuk saya menerima tawaran lain dengan imej berambut panjang.
Lagi pula, kebanyakan watak yang ditawarkan tidak sesuai dengan imej berambut panjang.
Itulah menjadi penyebab wajah saya jarang muncul di kaca TV sejak kebelakangan ini.
“Selepas filem Mat Kilau, saya terbabit dengan filem Air Force The Movie. Kesibukan di lokasi penggambaran filem menyebabkan banyak tawaran drama terpaksa ditolak.
Ada ketika timbul juga kebimbangan jika syarikat produksi menyangka saya tidak mahu berlakon drama, sedangkan saya suka berlakon drama,”
– Johan As’ari
Walau bagaimanapun, Johan berkata, dia bersyukur apabila kembali menerima banyak tawaran drama, tahun ini.
Selepas selesai menjalani penggambaran drama di Sabah pada Ogos, dia akan ke Kedah untuk penggambaran drama bergandingan dengan pelakon, Fauziah Nawi.
Pelakon filem Ophilia dan Kanang anak Langkau: The Iban Warrior itu berkata, dia banyak meluangkan masa bersama bersama keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selama tiga bulan, katanya, memberi ruang untuknya berehat dan meluangkan waktu bersama bapa, ibu tiri serta adik beradik yang jarang dapat berkumpul.
Katanya, meskipun ada beberapa drama tergendala, namun dia bersyukur mempunyai wang simpanan. Selain itu, pelepasan bayaran pinjaman kereta menerusi moratorium yang diberikan kerajaan sedikit sebanyak meringankan bebannya.
“Alhamdulillah, saya bertuah memiliki simpanan. Jadi, saya tidak begitu merasakan kesan walaupun hampir empat bulan tidak keluar berkerja. Lagipun, tempoh berkenaan dapat digunakan untuk meluangkan masa bersama keluarga,”
– Johan As’ari
Mengulas hubungan cinta bersama wanita bernama Letty, Johan berkata, dia masih mengenali hati budi wanita yang sudah dikenali sejak dua tahun lalu.
Katanya, dia mempunyai perancangan untuk menyunting Letty, tetapi enggan terlalu gelojoh.
“Kami masih peringkat mengenal hati budi. Sebelum ini, Letty menyambung pengajian di London, tetapi kini sudah kembali ke tanah air dan menetap di Perlis kerana menjaga ibunya. Kami masih rapat, tetapi menyerahkan hubungan ini di tangan Tuhan.
“Jika ditakdirkan sekadar berkawan rapat, Alhamdulillah. Andai dijodohkan, tentulah kami gembira. Tetapi, kami sedang melangkah perlahan-lahan membuat persiapan,”
– Johan As’ari
Sumber: BH Online