Zaman persekolahan sememangnya banyak meninggalkan kenangan suka mahu pun duka. Ada sebahagian kenangan yang ingin selalu kita ingati selamanya namun ada juga kenangan yang ingin kita lupakan sampai bila-bila. Bukan hanya itu, kadangkala kita turut berharap kejadian bagai itu tak pernah terjadi dalam hidup kita.
Namun bagaimana sekiranya kenangan yang ingin kita lupakan itu tiba-tiba muncul kembali bersama dengan orang yang pernah kita anggap sebagai musuh?
Cuba mengembalikan ingatan terhadap suka duka zaman persekolahan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menayangkan filem komedi sarat dengan kisah suka duka erti persahabatan bertajuk “ You Again” (2010) arahan Andy Fickman.
Mengisi slot Saturday Matinee di TV2 yang mensasarkan penonton di kalangan remaja dan juga seisi keluarga, filem ini menememui penonton pada 11 April ini, pukul 2.00 petang.
Berkongsi kisah dilalui watak utama Marni lakonan Kristen Bell yang zaman sekolahnya merupakan pelajar yang comot dan sering dibuli kini telah menjadi seorang pegawai perhubungan awam yang berjaya dan dikenali ramai. Suatu ketika Marni menerima berita abangnya iaitu Will (Jimmy Wolk), telah bertemu jodoh dan bakal berkahwin.
Dengan perasaan gembira Marni pun pulang untuk menghadiri majlis perkahwinan Will. Dia tidak sabra mahu berkenalan dengan bakal kakak iparnya itu.
Namun sayang kebahagiaan dirasai Marni tidak lama kerana sebaik sahaja sampai di rumah, dia dikejutkan dengan khabar yang tidak disangka-sangka. Satu kenyataan pahit yang sukar untuk diterimanya.
Ternyata Will bakal menikahi wanita bernama Joanna (Odette Yustman), musuh ketat Marni semasa menuntut di sekolah yang sama dahulu. Namun yang lebih menyakitkan lagi, Joanna ternyata sudah tak ingat lagi kalau dulu sering menyakiti hati dan membuli Marni.
Situasi bertambah buruk apabila muncul Ramona (Sigourney Weaver), mak cik saudara Joanna yang tiba dari Miami. Ternyata Ramona adalah musuh ketat Gail (Jamie Lee Curtis), ibu Will dan Marni.
Lalu apakah yang berlaku seterusnya? Adakah perkahwinan tersebut diteruskan atau sebaliknya? Mampukah mereka berkorban perasaan demi menjaga hati Will dan Joanna? Jawapannya hanya akan anda ketahui dengan mengikuti filem menarik ini hingga ke penghujungnya.