Jodoh Kahwin Campur Dalam Telemovie Khas Deepavali : Chandrapuspha di TV1
Kisah kahwin campur antara bangsa berbeza di negara kita ‘dihidupkan’ Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam berkongsi tayangan sebuah drama khas, Chandrapuspha meraikan kemeriahan sambutan pesta cahaya perayaan Deepavali yang diraikan masyarakat berbilang kaum seluruh negara pada 26 Oktober ini.
Chandrapuspha yang disiarkan menghiburkan anda di TV1 jam 3.05 petang ini menampilkan kemunculan pelakon Memey Suhaiza, Devika Raghava Krishna, Ramasundram, Susiladevi, Calaiselvy dan Sathis Rao yang mengetengahkan kisah apabila seorang gadis berasal daripada sebuah kelurga tipikal India yang jatuh cinta terhadap teman sekuliahnya, seorang pemuda berbangsa Cina. Namun konflik melanda apabila kekasihnya itu terkorban apabila bertugas sebagai sukarelawan di Gaza dan situasi itu menimbulkan perasaan kecewa di hati Puspha yang kemudiannya terpaksa menerima jodoh dicarikan keluarga untuknya.
Kisah Chandrapushpa bermula apabila watak Pushpa sanggup mengubah namanya jadi Chan hanya kerana punya kekasih berbangsa Cina. Tindakannya itu tidak dipersetujui teman baiknya, Feeza lakonan Memey Suhaiza yang menganggap Pushpa tidak mempunyai jatidiri. Pushpa tak peduli kerana baginya cinta bisa mengubah segalanya. Apatah lagi sudah setahun Pushpa mengenali Micheal Lim yang telah pun menjadi kekasihnya.
Sejak memasuki kolej, Pushpa memang banyak berubah dari segi penampilan. Dia nampak bergaya dengan fesyen terkini. Jauh sangat penampilannya ketika mula datang dari Kuala Gula dua tahun yang lalu. Dia hanya memakai pakaian tradisi apabila mahu pulang ke kampung sahaja. Namun penampilannya itu membuatkan dia nampak sepadan dengan Micheal Lim.
Tapi Pushpa tidak lupa daratan kerana setiap kali pulang ke kampung dia akan menjadi Puspha yang dahulu yang suka memakai pakaian tradisi dan makan manisan yang dibuat oleh neneknya. Pushpa masih lagi meluangkan masa membantu ayahnya di ladang kelapa sawit.
Pada masa sama di kampung, Pushpa suka menyakat Doktor Sam yang kacak hinggakan dia sanggup untuk ‘buat-buat sakit’ hanya untuk berjumpa Doktor Sam, satu-satunya doktor India di pekan itu.
Percintaan Puspha dan Micheal Lim berjalan lancar hinggalah satu hari Puspha menerima berita Micheal yang telah tamat kolej telah terkorban ketika mengikuti rombongan ke Gaza mewakili bapanya menghantar bantuan kemanusiaan. Pushpa begitu sedih dengan berita kematian kekasihnya itu.
Kehidupan Puspha jadi tidak menentu dan dia hidup bermurung dan putus semangat untuk kembali menjalin hubungan dengan lelaki lain. Situasi itu membimbangkan Feeza, teman baiknya yang sentiasa ada di sisi saat suka dan duka. Dia mahukan Puspha kembali ceria seperti sebelumnya kerana menangis air mata darah sekalipun Micheal tidak akan hidup kembali. Begitu juga keluarga Puspha yang cuba melakukan apa sahaja untuk menceriakan Puspha kembali terutamanya nenek yang begitu rapat dengannya.
Menjelang Deepavali, keluarganya memberitahu Puspha bahawa mereka mahu mengaturkan majlis perkahwinan Puspha dengan seseorang yang dirahsiakan identitinya setelah sambutan Deepavali tahun itu. Situasi itu membuatkan Puspha tertanya-tanya siapakah pemuda pilihan keluarganya itu? Namun Puspha akhirnya tersipu malu bila mengetahui jodohnya itu dengan lelaki yang diminatinya dalam diam sebelum ini. Apatahlagi kemudiannya dia baru mengetahui Feeza bakal menjadi kakak iparnya.