Jodoh Fouziah Gous dan Iqram Dinzly Dalam Slot Tribute P.Ramlee di TV1
[dropcap]B[/dropcap]enar, jodoh seseorang itu hakikatnya ketentuan Maha Pencipta. Bak kata pepatah, kita merancang tapi Tuhan yang menentukan. Begitu juga kisah yang melatari telefilem “Jodoh Kita” lakonan hebat Fouziah Gous, Yatt Hamzah, Iqram Dinzly dan Zahiril Adzim.
[pullquote align=”right”]Disiarkan mengisi slot Tribute P.Ramlee pada 23 Disember 2012, jam 9.00 malam di TV1, telefilem arahan Ismail Yaakob ini berkongsi kisah menarik bila seseorang itu terpaksa ‘menggantikan’ teman baik sendiri bila ditakdirkan teman baiknya itu pergi menghadap Ilahi.[/pullquote]
Ia mengisahkan tekanan emosi Rohayu yang kehilangan suami, Zainal akibat kemalangan jalanraya setelah selesai majlis akad nikah. Sebelum menghembus nafas terakhir, Zainal sempat berpesan kepada Taufiq yang merupakan pengapit serta kawan baiknya. Akibat tekanan emosi, Rohayu turut kehilangan kariernya.
Setelah dua tahun Zainal meninggal dunia, atas usaha kawan baiknya, Nora, Rohayu bersetuju kembali ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai Eksekutif Kewangan di pejabat tempat Nora bekerja. Setiap hujung minggu, Rohayu akan pulang ke kampung untuk melawat pusara Zainal. Sikap Rohayu amat membimbangkan kedua-dua orang tuanya, Rahman dan Senah, serta Habsah (ibu arwah Zainal).
Naim, Penolong Pengurus Projek dan rakan sepejabat Rohayu terpikat dengan Rohayu, bagaimanapun kenangan silam menyebabkan Rohayu tidak dapat menerima Naim.
Manakala Taufiq yang turut mengalami cedera parah dalam kemalangan tersebut, terlantar di hospital selama beberapa bulan. Setelah keluar dari hospital, Taufiq dibawa ibunya, Mahani pulang ke kampung untuk menjalani rawatan selanjutnya. Setelah pulih, Taufiq berkhidmat di Munich, bagaimanapun akhirnya berhenti kerja dan membuka agensi pelancongan.
Dalam waktu yang sama, Taufiq diburu rasa bersalah kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhir Zainal kerana Mahani begitu kecewa dengan sikap keluarga Zainal serta Rohayu yang langsung tidak menjenguk Taufiq ketika dia terlantar di hospital.
Satu hari, Taufiq bertemu dengan kawan baik Rohayu, Nora. Taufiq bersimpati apabila Nora memberitahu keadaan Rohayu selepas kematian Zainal. Taufiq ingin merawat luka di hati Rohayu sekaligus menunaikan permintaan terakhir Zainal, namun Rohayu tidak dapat menerima Taufiq atas alasan ingatannya pada Zainal masih kental.
Emosi Rohayu makin terganggu apabila mengetahui permintaan terakhir Zainal. Bagaimanapun akhirnya Rohayu mula belajar untuk menerima Taufiq, malangnya Mahani menentang keras hasrat Taufiq untuk berkahwin dengan Rohayu kerana dia masih terasa hati dengan perbuatan keluarga gadis itu.
Berjaya atau tidak hasrat mereka sama-sama menunaikan amanah arwah Zainal tersebut? Kesudahannya akan anda sama-sama ketahui di penghujung telefilem terbitan Suhan Movies ini.