Rakaman kali ketiga yang mengambil masa lima jam itu lebih lama daripada kebiasaan Ezwan membuatkan dirinya berasa tertekan. Malah, menurut Ezwan lagu kali ini memang menuntut dirinya memberi fokus kepada kualiti vokal berdasarkan keinginan empat komposer terbabit yang turut bertindak selaku penulis lirik dan penerbit iaitu Kadok (Hazama), Pown Hasril, Karim Karam dan Otromen.
“Boleh dikatakan, dalam lagu ini dari awal sehingga habis memang memberi penekanan kepada vokal. Mereka sangat teliti.
“Sewaktu proses rakaman kali ketiga, saya berasa tertekan dan mengakibatkan hidung berdarah.
Sebab kali ketiga ini, mereka dengar saja perkataan tak kena, mereka suruh rakam lagi.
“Kalau biasa saya boleh siapkan dalam tempoh sejam, kali ini lima jam. Mereka terkejut melihat keadaan saya.
Tidak mengapa, kerana Ini simptom biasa saya kalau berada dalam tekanan,”
– Ezwan Ariff
Bagaimanapun, Ezwan mengakui segala tekanan dilalui berbaloi selepas mendengar hasil lagu ini.
Malah, Ezwan menyifatkan muzik, bunyi dan melodi dalam lagu Jiwa ini adalah muzik sebenar yang dicari Neon Band selam ini.
“Ini kali pertama Neon Band bekerjasama dengan empat komposer dalam satu lagu.
Masing-masing ada idea dan digabungkan.
Apabila mendengar vokal saya, jadi mereka mahukan eleman berbeza dalam lagu ini.
“Kiranya ini pengalaman baru untuk saya dan anggota lain. Setiap orang ada pendapat berbeza.
Bagi saya, inilah bunyi Neon Band sebenarnya.
“Sebelum ini kami masih tercari-cari dan mencari muzik terkini.
Tapi, apabila mendengar hasil lagu ini, saya dan anggota gembira dan teruja. Hidung berdarah pun jadi berbaloi,”
– Ezwan Ariff
Berkongsi mengenai single keempat Neon Band itu, Ezwan yang mewakili anggota lain yang terdiri daripada Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar) berkata, lagu itu mengambil masa lama untuk disiapkan.
“Kami dapat demo lagu ini sejak Oktober tahun lalu.
Selepas lima bulan baru memulakan proses rakaman.
“Dalam masa sama, pihak 17Eleven Music juga tidak mahu melancarkan lagu ini jika tidak mendapat muzik yang terbaik.
“Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas awal daripada beberapa orang radio, mereka mengatakan lagu ini mengetengahkan bunyi lain dan muzik segar.
Begitu juga dengan vokal dinamik lain daripada sebelum ini,”
– Ezwan Ariff
Bercerita lanjut mengenai Jiwa, ia adalah single kedua mereka bersama syarikat rakaman 17Eleven Music Sdn Bhd.
“Single sebelum ini adalah Kaca juga bersama 17Eleven Music. Lagu kali ini sangat berbeza dengan tiga single sebelum ini.
Kalau sebelumnya semua lagu sedih. Tapi, Jiwa adalah lagu berkonsepkan bahagia.
“Malah, muzik Jiwa juga ‘mid range’.
Dalam lagu ini, kami ‘explore’ banyak instrument iaitu ada elemen India (instrumen India) sikit, tapi pop melayu masih ada.
“Ditambah pula membabitkan empat komposer, masing-masing ada input berbeza.
Sedikit sebanyak, ia mempengaruhi muzik dan bunyi Neon Band sebelum ini. Identiti selama ini bertukar sepenuhnya.
“Kami berharap lagu ini akan pergi jauh. Kalau boleh nak lagu ini ke Anugerah Juara Lagu.
Sewaktu menghasilkan lagu ini pun, kami nak ia standard AJL,”
– Ezwan Ariff
Lirik video Jiwa akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 20 Mac 2020 pada jam tiga petang di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.