PEMAIN bass kumpulan Samudera, Azizan atau lebih dikenali sebagai Jimmy meninggal dunia pada Ahad di Rengit, Batu Pahat.
Menurut pengurus kumpulan tersebut, Mahadi Latif, dia mendapat tahu tentang berita kematian Jimmy selepas menerima panggilan daripada Shah Samudera.
Jimmy meninggal dunia pada usia 48 tahun.
Mahadi berkata, salah seorang ahli Samudera, Jep cuba mengejutkan Jimmy untuk bangun namun dia mendapati pemuzik itu sudah tidak bernafas.
“Saya terima panggilan daripada Shah mengatakan Jimmy sudah meninggal dunia antara pukul 7.30 hingga 8 pagi. Jep beritahu saya yang dia cuba kejutkan Jimmy bangun tapi dia tak bergerak dan tidak bernyawa,” kata Mahadi ketika dihubungi mStar Online.
Tambah Mahadi, Jimmy dan ahli kumpulannya membuat persembahan di Batu Pahat pada malam sebelum kejadian namun tidak menyangka itu adalah untuk kali terakhir mereka bersama.
Malah, Jimmy tidak menunjukkan sebarang tanda sakit dan membuat persembahan dengan baik pada malam itu.
“Samudera ada persembahan di Rengit, Batu Pahat. Tak sangka itu adalah untuk kali terakhir buat Jimmy.
“Malam dia buat persembahan itu nampak baik sahaja. Tak ada tanda-tanda dia sakit. Tapi dah ajal, Allah lebih sayangkan dia,” ujarnya.
Mahadi memberitahu Jimmy tidak mempunyai penyakit dan doktor masih belum mengenal pasti punca kematiannya.
Allahyarham mempunyai seorang isteri dan dua orang anak.
Samudera adalah salah sebuah kumpulan rock yang terkenal di tahun 90-an dan antara lagu popular mereka berjudul Sungguh Tak Ku Sangka, Airmata Dewiku dan Mekar Dijiwa.
Sumber: Mstar Online