Buat julung kalinya, pelakon, pelawak dan pengacara popular Jihan Muse bakal mengacarakan sebuah program berkonsepkan sitkom dan bual bicara, ‘Jihan Show’. Berdurasi selama 30 minit bagi setiap episod, program ini akan menemui penonton di kaca televisyen pada setiap hari Khamis mulai 2 Mac 2017 pada jam 9.30 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).
Jihan Muse Tampil Dengan Sebuah Program Bual Bicara
Program yang bakal membincangkan topik-topik menarik dan terkini berkaitan dengan golongan wanita ini turut menampilkan Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras sebagai pengacara bersama. Bagi merancakkan lagi sesi bual bicara dan menggalakkan pertukaran pendapat, ‘Jihan Show’ turut mengundang selebriti popular tanah air pada setiap episod. Antara selebriti undangan termasuklah Fahrin Ahmad, Hairul Azreen, Amar Baharin, Elly Mazlein, Fad Bocey, Tomok, Kamal Adli, Datuk Rosyam Nor, Mark Adam, Ajak Shiro, Aiman Tino dan ramai lagi.
Mengulas mengenai buah tangan terbaharu Astro Warna ini, Ketua Saluran Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Sejak pelancaran saluran Astro Warna pada tahun 2009, penonton saluran ini kerap disajikan dengan program-program terbitan Astro yang berkonsepkan pertandingan dan realiti seperti ‘Maharaja Lawak Mega’, ‘Super Spontan’ dan yang terbaharu, ‘Lawak Solo’. Justeru itu, dengan kehadiran ‘Jihan Show’, sebuah program yang berkonsepkan bual bicara, ia akan memberi lebih variasi dan pilihan program kepada penonton dengan konsep yang berbeza untuk dinikmati oleh pelanggan pek Mustika khususnya penonton Astro Warna.
‘Jihan Show’ bakal mengupas isu-isu terkini berkaitan golongan wanita dalam suasana santai dan menghiburkan
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Astro Warna membawakan sebuah program khas buat wanita di mana sepanjang 13 episod ianya bersiaran, topik bual bicara berkisar hal-hal berkaitan wanita yang akan diberikan fokus utama. Kami bukan sahaja melihat program ini sebagai medium untuk menyuarakan pendapat serta suara wanita di luar sana tetapi juga sebagai platform untuk menyebarkan mesej positif dan membuka minda khususnya untuk kaum hawa. Pertukaran pendapat yang berlaku semasa bual bicara berlangsung akan memberi perspektif yang pelbagai kepada penonton terhadap isu-isu yang diperbincangkan.”
Menariknya lagi, ‘Jihan Show’ menggunakan pendekatan santai dan menghiburkan dengan menyelitkan sketsa pendek hasil lakonan keempat-empat pengacara program bersama selebriti undangan mengenai topik yang dibincangkan dalam episod tersebut. Bagi memberi lebih kefahaman kepada penonton, sketsa pendek tersebut dibahagikan kepada tiga segmen di mana segmen pertama memfokuskan pada punca tercetusnya sesebuah isu diikuti pula dengan segmen kedua yang memfokuskan pada konflik yang berlaku akibat isu berkenaan, dan diakhiri dengan segmen ketiga yang memfokuskan pada penyelesaian isu tersebut.
Raqim menambah, “Pendekatan sketsa digunapakai kerana pada hemat kami, formula ini bukan sahaja mampu menarik minat penonton tetapi juga penyampaian maklumat mengenai topik perbincangan akan menjadi lebih mudah difahami selain mengekalkan momentum bual bicara agar penonton tidak berasa bosan. Tambahan pula, program ini bersiaran di saluran komedi dan pengacaranya juga terdiri daripada pemain komedi dan pelakon. Pastinya penonton mengharapkan sesuatu yang menghiburkan apabila menonton program ini”.
Menyentuh pula mengenai pengacara yang dipilih untuk mengemudi program ini, Raqim menjelaskan, “Pemilihan Jihan Muse sebagai tonggak utama program bual bicara ini dilihat bertetapan dan selari dengan konsep serta matlamat program yang ingin mengetengahkan isu berkaitan wanita dalam suasana santai, kasual dan yang paling penting ia mampu menghiburkan hati penonton. Liku perjalanan karier seni Jihan telah membentuk beliau menjadi seorang figura wanita yang cekal sehingga berjaya memahat kukuh nama beliau dalam industri seni tanah air. Jika kita imbas kembali beberapa tahun yang lalu, Jihan merupakan satu-satunya peserta wanita yang bertanding dalam program ‘Raja Lawak’ seterusnya memecah monopli kaum adam dalam program tersebut. Di situ jelas kelihatan akan keyakinan diri Jihan yang tidak gentar untuk terlibat dalam program yang didominasi pelawak-pelawak lelaki. Tambahan pula, kredibiliti beliau dalam bidang pengacaraan tidak boleh dipertikaikan lagi apabila berjaya mengemudi program yang telah mencetuskan fenomena hebat dalam industri seni tanah air; Gegar Vaganza. Kami yakin, Jihan merupakan pilihan terbaik untuk kami tampilkan sebagai selebriti pertama membuka tirai program ini.
Dalam pada itu, menjadi keutamaan kami untuk sentiasa menampilkan program-program baru yang lebih segar, terkini, memiliki elemen komersial dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Oleh yang demikian, kami akan terus meneroka pasaran komedi lawak di Malaysia dan peka dengan permintaan para penonton. Melihat pada kekuatan pengisian program ini, kami yakin ‘Jihan Show’ mampu memberi impak positif kepada penonton seperti yang diharapkan seterusnya menempa kejayaan seperti program-program lain terbitan Astro di saluran Astro Warna. Kami percaya, asas sesebuah program komedi yang berkualiti adalah apabila program tersebut disisipkan dengan kandungan dan intipati yang mampu mendidik masyarakat dan bukan sekadar hiburan semata-mata.”
Jangan lupa saksikan program bual bicara terbaru, Jihan Show yang akan bersiaran pada setiap hari Khamis mulai 2 Mac 2017 pada jam 9.30 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Mustika HD (saluran 134). Selamat menonton!