BERSAMA MENGGAPAI CITA-CITA
Setiap manusia di dunia ini pasti mempunyai cita-cita dan impiannya yang tersendiri dan bagi yang berjiwa tegar, mereka pasti sanggup mengharungi pelbagai cabaran dan liku-liku hidup hanya untuk menghidu kejayaan yang hendak dikecapi.
Seiring dengan ”demam bola” Piala Dunia 2010 yang semakin berjangkit, TV9 menghidangkan sebuah drama bola sepak bertajuk Jersi 9 yang diterbitkan oleh Nafalia Corporation Sdn Bhd untuk TV9. Drama ini amat sesuai dengan golongan sasaran penonton TV9 berusia antara 15 hingga 30 tahun, khususnya untuk remaja-remaja yang bergiat aktif dalam sukan sebagai hobi mahupun secara profesional.
Seperti ungkapan ”membina cita-cita dari angan-angan”, Jersi 9 ini mengisahkan tentang Mokhtar (Fizo Omar), seorang remaja di kampung yang bercita-cita besar untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional kelak. Setiap hari, Mokhtar akan meluangkan masanya untuk membantu bapanya di kebun dan di situ jugalah dia akan berlatih seorang diri bermain bola sepak.
Sementara itu, Hana (Eira Syazira) merupakan seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti terkemuka di pusat bandar dan sedang dalam proses untuk menyiapkan projek tesisnya iaitu “Pencarian Jersi 9”. Projek ini memerlukannya menjejaki setiap pemain untuk menubuhkan satu kumpulan bola sepak remaja.
Pencarian pemain dan penubuhan kumpulan bola sepak ini telah dibantu oleh jurulatih En. Azman (Rahim Omar) dan Nerd (Farish Aziz), anak kepada kawan bapa Hana. Segala kemahiran Nerd dalam teori dan taktikal digunakan untuk memberi latihan terbaik kepada semua pemain dan Datuk Mazlan (Abu Bakar Juah) juga telah bersetuju untuk membantu mereka dari segi kewangan. Pada masa yang sama, Mokhtar yang sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pelajaran di universiti, sering diejek dan ditertawakan oleh Amran (Faizal Yusof) dan rakan-rakan kampungnya kerana mereka menganggap angan-angannya terlalu tinggi.
Terdapat juga masalah cinta yang dialami oleh mereka di mana Hana sudah mula menaruh perasaan pada Mokhtar yang jauh lebih muda darinya kerana sikap Mokhtar yang jujur dan suka merendah diri. Pergolakan di rumah Hana pula telah menjadikan Nerd sebagai tempat Hana meluahkan segala yang terpendam di hatinya, baik dari segi kerjaya mahupun peribadi. Amran pula sedang hangat bercinta dengan adik Hana,Hani (Nisha Dirr) dan hubungan mereka telah dirahsiakan.
Pelbagai pergolakan dan cabaran yang dilalui oleh setiap satu daripada mereka dalam usaha mencapai impian masing-masing.
Drama bersiri ini juga bertambah istimewa dengan penampilan pemain kebangsaan terkenal dan kini jurulatih kebangsaan iaitu Dollah Salleh, Anuar Abu Bakar, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain dan Myhan Rossihan. Pasti ramai remaja dan peminat bola sepak di Malaysia akan dapat mempelajari berbagai-bagai aksi dan tips untuk mengasah bakat dalam dunia sukan bola sepak.
Tetapi apa yang pasti adalah kita perlu senantiasa memegang dan mempercayai cita-cita yang ada di lubuk hati kita kerana ia merupakan penggerak dan motivasi kepada setiap usaha kita. Oleh itu, mari kita sama-sama menyaksikan aksi-aksi gentar Jersi 9 yang akan bersiaran menerusi TV9 pada setiap hari Ahad, jam 10 malam, mulai 6 Jun 2010.
Eira Syazira & Farish
Eira Syazira
Faizal
Farish