Setelah berhempas pulas berlawak jenaka selama sepuluh minggu berturut-turut, perjuangan kumpulan JBORN yang dianggotai Khir Rahman, Vicha dan Joey berakhir dengan kemenangan mereka sebagai juara ‘Muzikal Lawak Superstar’ yang membawa pulang wang tunai sejumlah RM150,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro dengan peratusan tertinggi sebanyak 63.66%.
Ternyata menang besar, gelaran ‘Superstar Musim Pertama’ yang memberi pengiktirafan terulung kepada peserta yang paling menyerlah bagi program muzikal komedi itu pula dianugerahkan kepada Joey dari kumpulan JBORN atas bakatnya membawa watak-watak yang melucukan dan penuh variasi pada setiap minggu! Kebolehan Joey menghidupkan setiap watak yang diberikan telah membuatkan kesemua juri, audiens dan peminat tidak kering gusi dari hari pertama pentas dibuka pada minggu pertama sehinggalah melabuhkan tirainya secara rasmi pada hari Jumaat lalu.
Pentas akhir bertemakan ‘Negara 4 Musim’ dan ‘Bebas’ yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Nabila Huda menyaksikan gandingan juri tetap Datuk Awie, Nora Danish, dan Altimet bersama-sama menggalas tugas mereka buat kali terakhir untuk musim ini.
Mereka rata-rata digeletek dengan lawak yang dipersembahkan oleh tiga lagi kumpulan finalis yang lain – UNI (Fakhrul UNIC, Fad Bocey, Atu Zero), kumpulan NEWBOH (Tomok, Mamak Puteh, Ali Puteh) dan kumpulan BOTAK (Achey Bocey, Abam Bocey, Black Hanifah).
Malam gilang gemilang yang disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil itu turut digegarkan lagi dengan persembahan pembuka oleh kumpulan wanita popular, De’Fam dan penyanyi sensasi, Haqiem Rusli dengan persembahan medley lagu-lagu dari juri tetap, ‘Bunga’ dan ‘Amboi’ oleh Altimet, ‘Peronda Jaket Biru’ dan ‘Opera Hidup’ oleh Wings (Datuk Awie) dan ‘Ini Lagi Boom’ oleh Nora Danish.
Dalam pada itu, vokalis-vokalis popular Ismail Izzani, Hafiz Suip, Rachel Akademi Fantasia, Kashika Ceria Megastar dan Umai Ceria Megastar Ministar pula mengiringi ratu rock negara, Ella, dengan persembahan istimewa lagu ‘Standing in the Eyes of the World’ sempena Hari Kemerdekaan Ke-62 negara tercinta.
Diadili dengan 50% undian dan 50% markah juri, gelaran Naib Juara dimenangi oleh kumpulan UNI dengan peratusan markah sebanyak 60.25% yang membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 dan sebuah trofi. Kumpulan NEWBOH pula berjaya memenangi tempat ketiga dengan peratusan 44.86% dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM50,000 dan sebuah trofi.
Di tangga keempat adalah kumpulan BOTAK dengan peratusan 42.88%, tidak pulang dengan tangan kosong, malah turut memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 dan sebuah trofi.
Tahniah buat semua pemenang!