in , ,

Janna Nick Jawab Isu Drama DELEN Tiru Filem DILAN, Gesa Netizen Hentikan Budaya Toksik

Pelakon popular, Janna Nick, menyeru agar pengguna laman sosial berhenti daripada mengamalkan budaya toksik dengan melemparkan kritikan negatif.

Ibarat cakap kosong dan berselindung dalam media sosial, Janna, 25, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, yang kini bergelar seorang pengarah dan penerbit, berkata, adalah lebih baik kiranya mereka dapat memberikan kritikan yang lebih bernas.

“Sebenarnya mereka ini tidak berani pun untuk menghentam secara bersemuka malah tidak akan bercakap sepatah apa pun. Boleh sahaja nak bagi kritikan kalau tidak suka, tetapi biarlah berdasarkan fakta yang betul.

“Setakat ini komen yang diterima memang positif namun apabila ada yang beranggapan jalan cerita serta poster Delen dan Dilan 1991 sama, bagi saya itu tidak masuk akal,” ulas Janna menerusi Instagram Story, petang Ahad.

Dalam masa sama, Janna tetap bersikap merendah diri dan mengakui masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari dalam bidang pengarahan dan penerbitan ini.

“Apa pun terima kasih saya ucapkan kepada yang sudah tengok buah tangan sulung saya. Mungkin ada yang pertikaikan baru umur 25 tahun, setahun jagung dalam industri ada hati nak bergelar pengarah.

“Ya saya akui belum cukup ilmu di dada dan saya gunakan cara ini untuk belajar daripada kesilapan. Saya akan terus menghasilkan banyak lagi produk di bawah terbitan Jannanick Studios untuk saya terus belajar,” jelasnya lagi.

Berkongsi mengenai tugas baharunya itu, Janna yang kini muncul menerusi drama Marry Me Senorita di saluran Astro Ria berkata, penghasilan teleflem Delen itu bukan sekadar satu percubaan sebaliknya dia serius untuk terus menghasilkan lebih banyak karya selepas ini.

JANNA NICK

“Alhamdulillah, tahun ini genap 10 tahun dalam industri. Dari segi pengarahan, diakui saya memang tidak ada kelulusan itu, tapi saya ada dari segi pengalaman. Dari awal lagi masuk industri saya memang niat dan bercita-cita mahu menjadi pengarah.

“Malah, saya masuk industri pun mahu serius dalam bidang ini. Bukan nak kejar populariti dan glamor saja. Jadi, tidak salah untuk saya mencuba dan meneroka bidang baharu pula. Apabila saya menerbit dan mengarah telefilem ini, ia bukan satu percubaan dan saya takkan berhenti.

“Insya-Allah, selepas ini ada satu lagi telefilem yang akan ditayangkan. Cerita berjudul Jeti ini sudah siap menjalani penggambaran pun. Kali ini saya membawakan genre berat dan penuh emosi lakonan hebat Nabila Huda dan Fauziah Nawi. Tapi, untuk cerita ini saya memberi fokus kepada pengarahan dan penerbitan saja. Ternyata, untuk genre ini ia lebih mudah berbanding komedi romantik,” katanya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Siri Viu Original Korea Terbaharu berjudul RIVER WHERE THE MOON RISES

Para Bintang Membarisi Youth With You Season 3, Mentor Tarian LISA Kembali